suria

Mawi batal hasrat tubuhkan pasukan pengurusan jenazah

Sebagai duta Bumijez Sdn Bhd, Mawi turut akan turun padang bagi membantu dalam program pengurusan jenazah.

PENYANYI Mawi pernah terlintas untuk mewujudkan pasukan dalam pengurusan jenazah namun tidak dapat diteruskan niat itu kerana memerlukan tenaga kerja yang ramai.

Mawi, 37, berkata dia berasa bersyukur ditemukan dengan syarikat Bumijez Sdn Bhd yang menguruskan program Khairat Kematian YKAT dan menawarkannya menjadi duta selama lima tahun.

"Sebelum ini, saya memang pernah terfikir nak mewujudkan satu pasukan sendiri untuk pengurusan jenazah beberapa tahun lalu.

"Namun selepas berbincang dengan rakan, mereka kata perkara ini perlu ada sokongan dan tenaga ramai. Tapi alhamdulillah, apa yang saya niatkan termakbul.

ARTIKEL BERKAITAN: Artis meninggal tanpa wang cetus idea DJ Dave wujudkan program Khairat Kematian YKAT


Mawi kini duta Bumijez Sdn Bhd.

"Saya bertemu dengan syarikat Bumijez yang menguruskan program Khairat Kematian YKAT iaitu pengurusan jenazah dan mereka menawarkan saya untuk menjadi duta syarikat itu," katanya kepada mStar Online.

Pemilik nama Asmawi Ani ini ditemui ketika majlis penjenamaan semula program Khairat Kematian YKAT anjuran Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) baru-baru ini.

Pada majlis sama, Mawi turut diumumkan sebagai duta syarikat yang menguruskan program Khairat Kematian YKAT itu selama lima tahun bermula Januari tahun hadapan.

Dalam pada itu, Mawi tidak menjangka filem sulung arahannya yang masih belum mempunyai tajuk menjadi topik hangat diperkatakan di laman sosial.

Mawi masih belum mempunyai tajuk untuk filem pertama arahannya.

Pelakon filem Munafik 2 ini turut menafikan gosip yang mengatakan ketiadaan tajuk filem itu adalah gimik bagi mempromosikan filem tersebut.

"Sebenarnya apa yang berlaku di luar jangkaan saya. Sejujurnya, saya masih belum ada idea nak bagi tajuk apa untuk filem ini.

"Ini bukan gimik atau satu bentuk strategi yang sengaja saya cipta. Sejak dari awal penggambaran lagi, saya sudah nyatakan filem ini belum ada tajuk," ujarnya.

Filem yang menggunakan jalan cerita dikembangkan daripada telefilem Rock Sangkut itu akan ditayangkan pada Mac atau April tahun hadapan.

Mawi

Artikel Lain