suria

Tak keruan jadinya, Sharnaaz buat ‘video call’ dengan Jebat sepanjang masa

PELAKON Sharnaaz Ahmad mengakui hatinya tidak tenteram sekiranya perlu berjauhan dengan anak sulungnya, Jebat Jayden Ahmad yang dilahirkan Ogos lalu.

Malah kata Sharnaaz, jika tiada sebarang tuntutan kerja, dia kini lebih selesa berada di rumah dan menghabiskan masa dengan anak sahaja.

"Banyak masa kena habiskan dengan anak sekarang. Dia pun dah pandai, kalau boleh nak kena dukung 24 jam.

"Kalau outstation atau keluar penggambaran, memang akan teringat. Macam hari tu pergi Manchester tujuh hari pun dah tak tahan rasa rindu," ujarnya kepada mStar Online.

Sharnaaz, 33, yang juga suami kepada Noor Nabila ditemui sewaktu sidang media Anugerah Skrin di The International Gallery At Alya, Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Selasa lalu.

Sharnaaz akui kini dia lebih gemar berada di rumah bersama anaknya, Jebat Jayden Ahmad.

Menurut pelakon filem Juvana ini, dia juga terpaksa membuat panggilan video bagi melepaskan rindu terhadap buah hati sulungnya itu.

"Selama ni saya macam tak kisah, tapi sekarang dia jadi kisah pula. Mula-mula rasa macam tak ada apa-apa.

"Tapi baru dua tiga hari outstation, teringat. Bila dah pergi sekali baru rasa. Asyik-asyik tengok gambar dia sahaja.

"Panggilan video tu lebih lima kali sehari, setiap dua tiga jam memang akan call," katanya lagi.

Mengulas mengenai perkembangan kerjayanya, Sharnaaz berkata dia baru sahaja menghabiskan penggambaran sebuah super-tele berjudul Wangi bersama Nabila Huda, Syazwan Zulkifli dan beberapa pelakon lain.

Sharnaaz dan Noor Nabila yang juga kakak kepada pelakon dan pengacara, Neelofa berkahwin pada 31 Mac 2017.

Mereka dikurniakan cahaya mata sulung, Jebat Jayden Ahmad pada 31 Ogos lalu dengan berat 3.1 kilogram.

Lebih manis, pelakon itu turut berkongsi tarikh lahir yang sama dengan anak sulungnya.

 

Artikel Lain