suria

Bapa Jalaluddin Hassan meninggal dunia

Gambar kredit kepada Raja Karim.

PETALING JAYA: Bapa pelakon Datuk Jalaluddin Hassan yang juga tokoh agama Tan Sri Hassan Azhari, 90, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur kira-kira pukul 5 petang Sabtu.

Jalaluddin berkata, ayahnya menghidap penyakit kanser limfoma tahap empat dan dimasukkan ke hospital itu sejak Isnin lalu.

“Allahyarham menghidap kanser limfoma dan keadaan beliau kritikal sejak minggu lalu.

“Jenazah sedang diuruskan dan akan dibawa pulang ke rumah di Keramat,” ujarnya kepada mStar Online.

Jenazah dijangka akan dikebumikan di perkarangan Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada malam Sabtu atau pagi Ahad.

Selain Jalaluddin Allahyarham mempunyai 22 orang anak daripada tiga isteri.

Seramai 13 orang anak adalah daripada hasil perkahwinan beliau dengan isteri pertama, Sahara Abdul Samad, yang meninggal pada April 2004.

Selain Jalaluddin, Hassan juga merupakan bapa kepada bekas Ketua Polis Negara kelapan, Tan Sri Musa Hassan yang berkhidmat bermula November 2006 hingga September 2010.

Memetik laporan Bernama, Hassan adalah seorang tokoh yang terkenal dalam bidang tilawah Al-Quran di negara ini, dan sering menganggotai panel hakim musabaqah al-quran peringkat antarbangsa.

Beliau merupakan individu yang melaungkan azan semasa kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.

Beliau pernah menjadi pengajar di rancangan Muqaddam, program belajar membaca Al-Quran, selama lapan tahun di saluran televisyen RTM pada 1970-an.

Hassan Azahari

Artikel Lain