suria

“Langit Tak Selalu Cerah” - Nabil Ahmad

Nabil mahu bergelar pengarah berjaya suatu hari nanti.

TEMPOH 10 tahun melibatkan diri dalam industri seni membuka mata Nabil Ahmad untuk menyedari bidang berkenaan mempunyai pasang surutnya.

Atas dasar itu, pengacara program Gegar Vaganza ini perlu mengembangkan kebolehannnya sebagai sandaran masa hadapan dengan membuka syarikat produksinya sendiri iaitu Nabil Ahmad Production Sdn Bhd.

"Selain mengacara tahun ini saya banyak fokus kepada syarikat produksi saya dalam menghasilkan program televisyen selain drama dan filem.

"Pada tahap sekarang saya tidak boleh lagi hanya bergantung harap kepada pengacaraan sahaja dan perlu buat sesuatu untuk mengembangkan lagi karier seni saya.

Nabil turut minat dalam penulisan skrip.

"Ini juga sebagai persediaan untuk masa depan keluarga dan anak-anak kerana langit tidak selalunya cerah dan baik saya bersedia dari sekarang," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Nabil berkata, dia juga sudah bersedia untuk bergelar pengarah apabila dia bakal tampil dengan sebuah filem televisyen berjudul The Hantus untuk siaran Aidilfitri nanti.

Kata Nabil, pengalaman bekerja dengan pengarah berpengalaman seperti Datuk Afdlin Shauki, Ghaz Abu Bakar dan Mamat Khalid banyak memberinya ilmu dan keyakinan untuk mengarahkan filemnya sendiri.

"Memang ketika ini saya banyak fokus untuk jadi pengarah yang baik seperti senior-senior saya dan Alhamdulillah pengalaman selama 10 tahun banyak ilmu saya kutip dan dari situ saya belajar termasuk menulis skrip.

"Saya memang minat mengarah dan menulis skrip. Satu sahaja jalan untuk berjaya saya sendiri kena berusaha dan kutip ilmu apabila bekerja dengan orang lain.

"Alhamdulillah projek filem televisyen berjudul The Hantus yang membariskan pelakon seperti Hannah Delisha, Khatijah Tan, Faizal Hussien dan ramai lagi bakal menemui peminat pada hari raya nanti," ujarnya.

Sementara itu, Nabil berkata, syarikat produksinya juga bakal menerbitkan sebuah filem tidak lama lagi dan berharap impian itu dapat direalisasikan tidak lama lagi.

Nabil Ahmad

Artikel Lain