suria

Elfira Percaya Naluri Ibu Tepat, Bukan Bermaksud Yang Dulu Tak Baik

Elfira Loy percaya naluri ibu dan menerima ketentuan jodohnya dengan Sufian tidak panjang. Foto Instagram: sufiansuhaimi / elfiraloy

PELAKON Elfira Loy menyangkal dakwaan netizen yang mengatakan ibunya, Filzah Yusoff menjadi punca terputusnya ikatan pertunangan antara dirinya dengan penyanyi Sufian Suhaimi.

Elfira, 23, berkata, dia percaya naluri seorang ibu sentiasa tepat dan mahu yang terbaik untuk anak-anak.

"Ada orang buat spekulasi kata ibu keluar kenyataan supaya selepas ini saya bertemu dengan lelaki yang lebih baik. Sebenarnya, ia bukan bermaksud yang dulu tak baik.

"Setiap masa ibu mahukan yang terbaik untuk anak-anak dan saya percaya naluri seorang ibu itu tepat kerana mereka sudah ada pengalaman hidup.

"Apa yang ibu buat ini adalah benda betul sebab saya masih belum cukup matang untuk melalui perhubungan ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tidak Mampu Sediakan Wang Puncanya? Netizen Berdebat Kemelut Sufian, Elfira

Elfira percaya naluri seorang ibu itu tepat.

Elfira membuat penjelasan tersebut menerusi temubual dalam program hiburan Melodi yang disiarkan pada Ahad.

Sebelum ini, beberapa blog hiburan mendakwa ibu Elfira menjadi punca dia putus tunang dengan penyanyi lagu Terasa Ada itu.

Dalam pada itu, Elfira memberitahu punca perpisahan ini hanya diketahui dalam kalangan ahli keluarga sahaja.

Malah, dakwaan netizen bahawa Sufian tidak mampu menyediakan wang hantaran hanyalah spekulasi untuk memanaskan keadaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu Elfira Kata Putus, Ini Pula Jawapan Sufian Suhaimi!

Elfira terima ujian putus tunang ini dengan hati terbuka.

"Apa yang berlaku hanya keluarga tahu, orang lain tak tahu walaupun saudara-mara atau kawan. Saya tengok banyak spekulasi yang timbul sebab mereka nak jadi orang pertama bercerita.

"Iyalah, benda tengah panas memang ramai yang nak bercerita tentang perpisahan ini dan sebab itulah saya tak baca komen-komen di laman sosial. Kalau ternampak saya akan padam," katanya yang menerima ujian ini dengan hati terbuka.

Pada 17 Februari lalu, Filzah, 52, mengesahkan ikatan pertunangan di antara anak perempuannya dengan Sufian sudah berakhir dan pihak perempuan sudah memulangkan cincin pertunangan di rumah keluarga Sufian di Muar, Johor pada Ahad lalu.

Pertemuan antara keluarga kedua-dua pihak dilaporkan berlangsung dengan baik dan pihak keluarga enggan memanjangkan hal berkenaan.

Pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 6 Oktober 2017 dan sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada Mac ini.

Elfira Loy, Sufian Suhaimi

Artikel Lain