suria

Latiff Borgiba Meninggal Dunia Pada Hari Lahir Ke-80

Latiff Borgiba

PETALING JAYA: Pelakon veteran yang terkenal dengan watak samseng iaitu Latiff Borgiba meninggal dunia pada Khamis ketika menyambut hari lahirnya yang ke 80 tahun.

Beliau meninggal dunia di kediamannya di Flat Danau Kota, Setapak dekat sini kira-kira pukul 3.43 petang Khamis akibat sukar bernafas akibat sakit paru-paru.

Latiff atau nama sebenarnya Abdul Latiff T.K Gomu dikenali dengan watak jahat bermisai lintang pada tahun 1980-an.

Antara filem lakonannya ialah Dang Lenggang, Ribut Di Hujung Senja dan Anakku Suamiku.

Beliau juga banyak berlakon drama tempatan namun selepas menghidap penyakit paru-paru dan kerap kali keluar masuk hospital, Allahyarham terpaksa memperlahankan kerjaya seninya.

Latiff yang dilahirkan di Bangkok, Thailand memperoleh nama 'Borgiba' selepas ia diberikan oleh pengarah filem dan pelakon S. Kadarisman pada hujung 1960-an.

Nama itu diambil sempena nama keturunan Habib Borgiba iaitu tokoh agama dari Afrika.

Beliau berkahwin pada usia 17 tahun dengan Rokiah Abdul Rahman yang ketika itu berusia 12 tahun. Namun isterinya itu meninggal dunia selepas tiga tahun usia perkahiwnan mereka.

Allahyarham kemudiannya berkahwin dengan Fatimah Leman.

Beliau mempunyai 16 orang anak namun tiga daripadanya sudah meninggal dunia dan hampir 50 orang cucu.

Dalam pada itu Fatimah berkata, keadaan Latiff agak kritikal sejak dua hari lalu dan tidak boleh makan sebaliknya hanya diberikan minuman.

"Sejak dua hari lepas arwah tak boleh bercakap. Makan pun tak boleh. Dia diberi minuman saja selain terpaksa dipakaikan lampin dalam tempoh itu," ujarnya.

Jenazah dijadual akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Taman Ibu Kota, Setapak pukul 10 malam Khamis.

Terdahulu anaknya, Dilla Borgiba turut berkongsi gambar Allahyarham di laman Instagram pada Khamis sempena ulang tahun ke-80 kelahiran ayahnya itu.

Latiff Borgiba

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain