suria

Lebih 100 Artis Di KLXtravaganza Wangsa Maju

Para artis dan mereka yang terlibat dalam KLXtravaganza yang akan diadakan di Wangsa Maju pada 16 September ini.

KUALA LUMPUR: Lebih 100 selebriti tanah air bakal memeriahkan siri ketiga Karnival KLxtravaganza yang akan diadakan di Taman Danau Kota, Wangsa Maju, di sini pada 16 September ini.

Program anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) itu bertujuan memberi peluang kepada masyarakat untuk berkumpul dan menjalankan aktiviti bersama artis tempatan.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez berkata, program berkenaan turut memberi peluang kepada para artis untuk menjual produk mereka melalui gerai yang disediakan secara percuma.

"Program ini bukan sahaja melibatkan artis malah beberapa agensi kerajaan dan pemimpin setempat.

"Setakat ini hampir 40 orang artis akan memeriahkan acara dengan membuka gerai jualan bagi menjual produk mereka, kita juga masih membuka peluang lagi kepada artis yang berminat," ujarnya kepada mStar Online.

Beliau ditemui pada sidang media Karnival KLxtravaganza yang diadakan di Taman Danau Kota, pada Khamis.

Turut hadir Ketua Umno bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr. Mohd Shafei Abdullah.

Antara artis yang terlibat ialah Sufian Suhaimi, Saleem, Zarul Umbrella, Siti Saerah, Drama Band, Roslan Shah, Joey, Nabila Razali, Datin Paduka Julie Sudiro dan Datuk Yusni Hamid. 

Dalam pada itu, Freddie menjangkakan seramai 20,000 pengunjung bakal hadir pada acara yang bermula dari pukul 7.30 pagi hingga 11.30 malam.

Bertemakan 'Negaraku Malaysia', pelbagai aktiviti menarik disediakan seperti persembahan kebudayaan, sukaneka, jualan produk seni dan lain-lain.

Program tersebut turut mendapat sokongan penuh daripada Persatuan Wartawan Dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), serta agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Bahagian Kesihatan Pergigian, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Acara serupa sebelum ini telah diadakan di perkarangan pusat beli belah Wangsa Walk dan juga Taman Tasik Permasuri, Cheras.

WHAM, Karnival KLxtravaganza

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain