suria

“Penat Kahwin Tiga Kali” – Faizal Ramly

Faizal tidak menutup pintu hatinya untuk kembali mendirikan rumah tangga walaupun pernah gagal dalam perkahwinan sebanyak tiga kali. Foto IBRAHIM MOHTAR

PERNAH gagal dalam perkahwinan sebanyak tiga kali, juara Akademi Fantasia musim keempat (AF4), Faizal Ramly mengakui dia berasa 'penat' dan tidak berhasrat kembali mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.

Akui Faizal, 33, semenjak bercerai dengan Sahidatul Najiha Ibrahim pada Disember tahun lalu dia berazam untuk memberi fokus kepada karier nyanyiannya yang semakin malap dan membina kembali namanya dalam industri hiburan.

"Jujurnya 'penat' dah berkahwin tiga kali dan buat masa sekarang saya tidak fikir soal itu.

"Apa yang saya pentingkan sekarang adalah karier nyanyian dan perniagaan yang saya jalankan buat masa ini.

"Soal kahwin biarlah dahulu lagi pun saya sudah melalui tiga perkahwinan sebelum ini dan sudah tiba masanya saya fokus kepada diri sendiri pula," katanya kepada mStar Online.

Faizal ingin fokus kepada karier nyanyian dan perniagaan.

Sementara itu, Faizal mengakui semenjak bercerai dia pernah didekati beberapa wanita yang ingin berkawan dengannya namun dia menolak secara baik.

Bagaimanapun, itu bukan bererti dia menutup pintu hatinya untuk kembali berkahwin sebaliknya meletakkan soal itu kepada jodoh dan ketentuan Tuhan.

"Memang ramai yang cuba tetapi soal hati dan perasaan saya ketepikan buat seketika.

"Tetapi tidaklah saya langsung tidak mahu kembali berkahwin tetapi soal jodoh ini tiada siapa tahu dan kalau ada rezeki tidak akan ke mana," jelasnya.

Seramai 24 bekas peserta program Akademi Fantasia akan berentap dalam pertandingan AF Megastar.

Bakal menyertai pertandingan AF Megastar, Faizal teruja dapat kembali bertanding bersama rakan-rakan lain daripada program Akademi Fantasia dan berazam untuk kembali memberi saingan sengit kepada semua peserta.

Akui berasa berdebar namun dia melihat ia dari sudut positif dan yakin menerusi penyertaan dalam program itu ia dapat memberi tambah nilai dalam menaikkan kembali namanya dalam kalangan peminat.

"Apa sahaja kritikan yang diberikan saya akan terima dan sudah bersedia dengan apa sahaja kemungkinan.

"Ini peluang saya untuk membuktikan bakat diri dan Insya-Allah akan buat yang terbaik pada pertandingan itu nanti," katanya.

AF Megatstar bakal menyaksikan 24 perserta termasuk lapan bekas juara sepanjang AF1 hingga AF2016 bakal berentap bagi merebut gelaran juara.

Ia bakal memulakan siaran bermula 3 September ini, pada setiap hari Ahad di Astro Ria dan Ria HD.

Faizal AF4, AF Megastar

Artikel Berikut

Marsha Anggap Ia Doa

Artikel Lain