suria

Syamsul Yusof Bahagia Serentak

Syamsul Yusof sentiasa percaya kejayaan akan datang dengan sendiri seandainya dia terus menjaga kualiti kerja.

KEJAYAAN filem Munafik pastinya memberi kesan dan nilai sentimental kepada pengarah Syamsul Yusof selepas karya itu diangkat sebagai Pengarah Terbaik Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) ke-57 yang berlangsung di Phnom Penh, Kemboja Ahad lalu.

Malah sebelum ini menerusi filem yang sama juga, Syamsul, 33, turut dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik dan Filem Terbaik Bahasa Kebangsaan pada Festival Filem Malaysia ke 28 (FFM28).

Kejayaan demi kejayaan diraih ditambah dengan rezeki cahaya mata yang kini berusia empat bulan membuatkan dirinya merasakan semua itu seperti sudah berlebih-lebihan namun dia bersyukur.

"Alhamdulillah Allah berikan rasa bahagia itu serentak tidak sahaja pada kehidupan peribadi dengan kehadiran putera saya, Syaikhul Islam, malah turut murahkan rezeki saya dalam lapangan kerjaya seni saya kebelakangan ini.

Syamsul bersama trofi kemenangannya sebagai Pengarah Terbaik Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) ke-57.

"Bila difikirkan balik, begitu cepat masa berlalu dan apa yang saya terima sekarang terkadang rasa seperti terlebih-lebih pula (ketawa).

"Apa-apa pun, saya hanya mampu bersyukur dengan rezeki Allah dan terus berpijak pada bumi yang nyata," katanya kepada mStar Online.

Syamsul... Ayah Minta Jangan Lupa Diri

Syamsul ditemui pada Sidang Media & Majlis Kesyukuran meraikan kemenangannya sebagai Pengarah Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke -57 di Restoran Haslam, di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Syamsul turut meluahkan rasa terjekut apabila ayahnya iaitu Datuk Yusuf Haslam mengharapkan dirinya dapat mengikut jejak anak jati Malaysia, James Wan yang kini berjaya berkarya di pentas Hollywood.

"Memang sebelum ini dia tidak pernah berkata begitu dan saya terkejut. Mungkin selepas dia melihat kejayaan saya pada peringkat Asia Pasifik, dia meyakini peluang itu sebenarnya boleh diusahakan.

Datuk Yusuf Haslam (kiri) dan Pengerusi Finas, Datuk Khusairi Abdul Talib (dua dari kanan) meraikan kemenangan Syamsul.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan filem Munafik 2 yang kini sudah hampir separuh menjalani penggambaran, kata suami kepada pelakon Puteri Sarah Liyana ini lagi, ada beberapa sebab kenapa filem tersebut mengambil masa agak lama untuk disiapkan.

"Alaa... bagilah peluang saya bermain-main dengan anak dulu (ketawa).

"Sebenarnya saya seorang yang amat menitikberatkan soal kualiti dalam penghasilan sesebuah karya dan Munafik 2 adalah sebuah naskhah yang agak berat memandangkan ianya sarat dengan unsur-unsur keagamaan.

"Justeru, banyak yang perlu saya kaji dari pelbagai aspek dan insyaAllah jika tidak ada aral melintang, ianya akan ditayangkan paling awal Febuari hingga April depan," akhirnya.

Syamsul Yusuf

Artikel Sebelum

Artikel Lain