suria

Awie Bakal Nikah Sharifah Di Lokasi Rahsia Jumaat Ini

KUALA LUMPUR: Penyanyi rock Awie mengesahkan bakal bernikah dengan seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Sharifah  pada Jumaat ini namun dia  mengambil pendekatan merahsiakan beberapa perkara.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, berkata, pernikahannya akan berlangsung pada sebelah pagi di tepian pantai manakala resepsi perkahwinan itu akan diadakan di lokasi yang sama pada sebelah malam.

"Saya terpaksa rahsiakan lokasi pernikahan dan identiti bakal isteri kerana khuatir akan ada gangguan yang akan menyebabkan majlis tidak boleh berjalan lancar,” katanya.

Awie ditemui pada sidang media Konsert Wings 30 Tahun Live di Sabah yang diadakan di G Tower Hotel di sini pada Selasa.

Konsert berkenaan akan diadakan di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada 24 Disember depan.

Dalam pada itu Awie berkata, wanita berkenaan berusia 20-an dan amat rapat dengan anak-anaknya.

Tambahnya, hati dia terbuka untuk menjadikan Sharifah sebagai isteri kerana wanita itu mempunyai sifat ‘gila-gila’  selain dapat menerima perangai Awie sendiri.

Media sebelum ini melaporkan, Awie telah mengikat tali pertunangan dengan seorang wanita dikenali sebagai Sharifah Ladyana di Hotel Vistana, Pulau Pinang pada 3 Jun lalu.

Sebelum ini Awie pernah berkahwin dengan penyanyi Arni Nazira Anuar pada 1998 dan bercerai pada 2006.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurnaikan dua orang anak iaitu Puteri Aleeya Antasha, 16, dan Puteri Aleefa Antasha, 14.

Selepas perkahwinan itu, Awie berkahwin secara rahsia di Selatan Thailand dengan  Rozana Misbun, 38, pada 2005 dan memiliki tiga anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 9, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 6.

Pada 1 November 2014, Rozana dilaporkan berjaya mendapatkan tuntutan fasak secara taklik terhadap Awie dari pejabat Majlis Agama Islam, Songkhla, Thailand.

Awie

Artikel Berikut

Artikel Lain