suria

Zizan Razak Kalah Saman Terhadap Bekas Pengurus

Zizan Razak
KUALA LUMPUR: Bekas pengurus peribadi kepada Zizan Razak pada Selasa menang kes samannya terhadap pelakon dan pelawak itu berhubung pelanggaran kontrak perjanjian, dua tahun lepas.

Ini berikutan Pesuruhjaya Kehakiman, Mahkamah Tinggi Datuk Roslan Abu Bakar membenarkan rayuan Marina Juki terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 4 April lepas yang menolak saman Marina terhadap Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Ab Razak.

Peguam Harjit Singh Sandhu yang mewakili Marina ketika ditemui pemberita berkata mahkamah bersetuju bahawa Marina selaku pengurus peribadi Zizan berhak mendapat 15 peratus komisen ke atas semua pendapatan yang diperoleh pelawak itu sepanjang empat tahun kontrak perjanjian antara mereka.

Peguam itu berkata mahkamah turut memerintahkan Zizan, 32, selaku defendan membayar kos sebanyak RM10,000 kepada Marina (plaintif). Zizan dan Marina tidak hadir pada prosiding pada Selasa.

Harjit berkata mahkamah juga menolak rayuan Zizan yang diwakili peguam Rishwant Singh terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang tidak membenarkan tuntutan balas pelawak itu terhadap Marina.

mStar Default Image
Gambar fail pada 2014 menunjukkan Marina Juki memegang laporan polis yang dibuat terhadap Zizan.
Pada 5 November 2014, Marina memfailkan saman terhadap Zizan atas dakwaan melanggar kontrak perjanjian yang ditandatangani antara Zizan, syarikat Wire Fame dan Marina pada 3 Mei 2011.

Marina mendakwa berdasarkan kontrak itu, Zizan bersetuju melantiknya sebagai pengurus peribadi dan perjanjian itu untuk tempoh empat tahun dan akan tamat pada 2 Mei 2015.

Dalam pernyataan tuntutannya, Marina mendakwa pada Mei 2014, pihak Astro telah mengesahkan Zizan berada di bawah pengurusan Astro dengan kontrak bernilai RM2,000,000 tanpa persetujuan syarikat Wire Fame dan plaintif.

Wanita itu mendakwa Zizan telah melanggar perjanjian kerana perpindahannya ke Astro dilakukan sebelum tamat tempoh kontrak dengan plaintif dan syarikat Wire Fame.

Marina mendakwa beliau kehilangan komisen 15 peratus ke atas pendapatan Zizan bermula Mei 2014 iaitu selepas pelawak itu menandatangani kontrak baharu dan memohon ganti rugi khas sebanyak RM535,500, ganti rugi am, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Marina juga memfailkan satu lagi saman terhadap Zizan pada 30 Sept 2014 berhubung pembekuan dua akaun syarikat Wire Fame untuk satu tempoh yang lama, bagaimanapun Mahkamah Tinggi telah membatalkan saman itu pada 10 Feb 2015 selepas membenarkan permohonan Zizan untuk berbuat demikian. - BERNAMA

Zizan Razak, Marina Juki

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain