suria

FFM28: Penggiat Seni Berbeza Pendapat Keputusan Kerajaan

'The Kid From The Big Apple' antara filem bukan berbahasa Malaysia yang turut dipertandingkan dalam Festival Filem Malaysia ke 28 (FFM28) tahun ini.
PETALING JAYA: Penggiat seni masih berbeza pendapat berhubung keputusan kerajaan memansuhkan kategori Bukan Berbahasa Malaysia dalam Festival Filem Malaysia ke 28 (FFM28) yang akan berlangsung pada 3 September depan.

Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menyifatkan usaha membenarkan dan mengiktiraf atau mengangkat karya bukan berbahasa Malaysia untuk anugerah utama dalam FFM28 adalah tindakan menghina dan tidak menghormati Perlembagaan Negara dan Rukun Negara.

"Semua anugerah peringkat kebangsaan tentang seni dan budaya perlulah terhadap karya berbahasa kebangsaan iaitu bahasa Malaysia.

"Usaha sebaliknya adalah tindakan menghina dan tidak menghormati Perlembagaan Negara serta Rukun Negara," kata presidennya, Datuk Abdul Rahim Awang kepada mStar Online.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak pada Rabu memutuskan penyertaan untuk Filem Terbaik dalam FFM28 dibuka kepada semua penggiat seni tanpa mengira bahasa dalam filem mereka.

mStar Default Image
Filem 'Ola Bola' dijangka akan memberi persaingan sengit dalam FFM28.
Kementerian juga bersetuju mewujudkan satu lagi kategori baharu sebagai usaha mengiktiraf bahasa kebangsaan iaitu Anugerah Filem Terbaik Bahasa Kebangsaan.

Kontroversi dalam FFM28 timbul apabila pihak penganjur iaitu Finas dan Persatuan Penerbit Filem Malysian (PFM) memperkenalkan pengasingan karya iaitu Filem Terbaik Bukan Berbahasa Malaysia.

Dalam pada itu kata Abdul Rahim, FDAM tidak mahu terlibat dengan FFM28 selepas kecewa dengan keputusan kerajaan itu selain mahu berpegang kepada prinsip menghormati kedaulatan perlembangaan dan prinsip rukun negara.

Yusof Haslam.
Yusof Haslam.
Pengarah filem Datuk Yusof Haslam antara pihak yang terlibat memperkenalkan pengasingan bahasa dalam FFM28 pula terpaksa akur dengan keputusan kerajaan itu.

Yusof yang juga Presiden PFM berkata, beliau merasakan keputusan itu umpama “pahit untuk ditelan” namun beliau perlu menghormatinya.

”Saya dihujani pelbagai tohmahan oleh ahli-ahli dengan persoalan kononnya saya tidak mempertahankan hak Bahasa Kebangsaan namun ia adalah keputusan kerajaan untuk tidak mengasingkan karya berbahasa Malaysia dan bukan berbahasa Malaysia dalam FFM28 ini. Ia bukan keputusan saya dan kita haruslah akur,” ujarnya.

Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) dalam satu kenyataan pula menyokong keputusan dibuat menteri itu sebagai tepat dengan mengambil kira pandangan semua pihak demi masa depan industri filem tempatan.

Jurey
Jurey Latiff Rosli.
Presidennya, Datuk Jurey Latiff Rosli berharap penganjur akan mengambil iktibar dan memandang serius setiap isu dibangkitkan dan dapat merancang penganjuran FFM akan datang dengan lebih sistematik.

“Selepas ini pihak penganjur perlu menyediakan garis panduan dan syarat penyertaan yang jelas selepas keputusan dibuat oleh pihak kementerian agar tidak lagi terdapat apa-apa bantahan daripada penggiat seni,” katanya.

Pengarah filem Ahmad Idham pula berkata, pada asasnya tidak akan wujud masalah jika filem bukan berbahasa Malaysia dan bukan berbahasa Malaysia disatukan dalam mana-mana kategori.

Katanya,  langkah itu akan membolehkan persaingan sihat berlaku antara pembikin filem tanpa mengira bahasa apa karya itu diterbitkan.

"Kita harus berfikiran terbuka dalam negara berbilang kaum kerana industri seni itu perlu ada anjakan dan bukannya buat filem untuk syok sendiri sahaja," katanya.

Tambah Idham, FFM bukannya dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka yang terlalu menekankan soal bahasa sebaliknya anugerah yang mahu mengangkat pencapaian karya kreatif rakyat Malaysia berbilang kaum.

Ahmad Idham.
”Kalau kita bercakap soal nak memartabatkan bahasa, ia bukan terletak pada filem sebaliknya pada semua orang termasuklah ibu-bapa di rumah. Tetapi ada juga ibu-bapa yang bercakap bahasa Inggeris di rumah mereka walaupun bahasa rasmi adalah Bahasa Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menyokong penuh terhadap keputusan dibuat kementerian dan menyifatkan ia sebagai bukti kerajaan memandang serius terhadap isu tersebut.

Presidennya, Zed Zaidi ketika dihubungi mStar Online berkata, ia juga menunjukkan kerajaan mengambil kira pandangan bukan sahaja pemain industri tetapi masyarakat keseluruhan.

"Seniman melihat keputusan dibuat kementerian sangat bijak selain membuktikan kerajaan memandang serius terhadap kemelut yang sedang rancak diperkatakan,” katanya.
FFM28, Finas, Gafim, Seniman, FDAM

Artikel Lain