suria

Penampilan Tidak Halang Ummi Nazeera Terus Berkarya

Ummi Nazeera muncul dengan filem televisyen terbaharu berjudul Angin Cinta.

PETALING JAYA: Pelakon Ummi Nazeera tidak melihat penampilannya yang bertudung sebagai penghalang untuknya terus berkarya menerusi pelbagai watak dalam drama mahupun filem.

Ummi, 26, bagaimanapun berkata, ia harus datang dengan tanggungjawab dalam memastikan dia tidak melangkaui batas sebagai seorang wanita muslimah.

"Selagi saya berusaha keras dan menetapkan pendirian Insya-Allah penampilan bukan halangan tetapi sebagai seorang wanita yang berhijab saya perlu memastikan tidak melangkaui batas.

"Alhamdulillah setakat ini tiada masalah malah rata-rata pihak produksi pun lebih memahami dan menyesuaikan sesuatu peranan mengikut penampilan seseorang pelakon," katanya kepada mStar Online.

Ummi baharu sahaja muncul dengan filem televisyen berjudul Angin Cinta menerusi saluran Astro First Eksklusif (480).

Diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar ia turut menampilkan Zizan Razak, Zarina Zainuddin dan Shahronizam.

Dalam pada itu, Ummi berkata, dia tidak mahu dilabel pelakon stereotaip hanya kerana penampilannya sebaliknya ingin membuktikan mampu melakonkan pelbagai watak.

"Saya tidak boleh tunduk terhadap stereotaip yang dilabel oleh orang lain terhadap pelakon yang bertudung.

"Pada saya pelakon berhijab masih boleh melakukan pelbagai perkara dalam bidang lakonan dan pada masa sama masih menjaga batas masing-masing.

"Tambahan pula dengan teknologi terkini dan 'camera trick' ia banyak memudahkan dalam beberapa situasi tertentu," ujarnya.

Bercakap mengenai Angin Cinta, Ummi berkata, ia adalah sebuah filem romantik komedi bertemakan cinta dan kekeluargaan.

Kata Ummi, ia sebuah karya yang sarat dengan pengajaran biarpun berkonsepkan ringan dan menerima tawaran tersebut kerana tertarik dengan jalan ceritanya.

"Jika sebelum ini ada sering bawa watak berat tetapi menerusi Angin Cinta ia sebuah filem ringan tetapi jalan ceritanya cukup menarik.

"Zizan juga banyak membantu kerana filem komedi memang kepakarannya tetapi keserasian kami membuatkan saya lebih seronok menjayakan filem ini," jelasnya.

Tambah Ummi, dia juga sedang menjalani penggambaran file televisyen keduanya bersama Astro berjudul Bisik Pada Langit yang menggandingkannya bersama Jalil Hamid, Beto Kusyairi dan Datin Fadilah Mansor.

Ummi Nazeera, Angin Cinta

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain