suria

'Polis Evo' Kutip RM13 Juta, Filem Melayu Paling Laris 2015

Polis Evo mencatatkan kutipan sebanyak RM13 juta selepas tiga minggu ditayangkan di pawagam.

PETALING JAYA: Filem Polis Evo berjaya mencatat kutipan tiket sebanyak RM13 juta sepanjang tiga minggu tayangan menerusi 102 buah pawagam di seluruh negara.

Menurut Naib Presiden dan Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar, ia sekali gus menunjukkan Polis Evo mencatat rekod sebagai filem Melayu paling laris bagi tahun 2015.

"Selepas tiga minggu berada di pawagam sejak ditayangkan pada 17 September  lalu, jumlah penonton masih belum berkurangan.

"Ia sekali gus telah mengubah tradisi filem-filem Melayu yang ditayangkan sebelum ini dan saya harap karya yang bakal ditayangkan nanti turut mendapat perhatian masyarakat," katanya dalam satu kenyataan media.

Tambah Najwa, penonton juga tidak henti-henti memberi reaksi positif mengenai Polis Evo menerusi laman sosial Facebook, Twitter dan Instagram.

Polis Evo merupakan filem bergenre aksi yang memaparkan kisah dua anggota polis, Khai (Shaheizy Sam) dan Sani (Zizan Razak) yang mempunyai personaliti yang sangat berbeza tetapi mereka harus bekerjasama untuk menjatuhkan sebuah operasi pengedaran dadah.

Dalam pada itu, kata Najwa, kejayaan Polis Evo setidak-tidaknya telah mengembalikan keyakinan khalayak penonton khususnya peminat filem Melayu untuk terus menyokong naskhah-naskhah tempatan tidak kira dalam apa genre atau kategori sekalipun.

"Kutipan panggung Polis Evo dijangka akan terus meningkat dari semasa ke semasa berdasarkan respon serta sambutan hebat serta luar biasa yang diberikan masyarakat. Jika sambutan yang diterima berterusan, tidak mustahil Polis Evo akan mampu meraih kutipan yang lebih tinggi," ujarnya lagi.

Polis Evo

Artikel Sebelum

Artikel Lain