suria

'Siapa Diriku' Raih Lebih Sejuta Tontonan Dalam Masa 3 Minggu

Ayda Jebat tidak sangka muzik video Siapa Diriku mendapat tontotan tinggi di Youtube.

PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Ayda Jebat terkejut apabila mengetahui muzik video single pertamanya, Siapa Diriku berjaya mencecah tontonan lebih satu juta hanya dalam masa tiga minggu di Youtube.

Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 22, berkata, dia pada mulanya meletak sasaran mendapatkan lebih sejuta tontonan selepas sebulan namun tidak menyangka sambutan melangkaui jangkaan.

"Alhamdulillah. Saya gembira dan terkejut apabila muzik video Siapa Diriku mendapat jumlah tontonan yang sangat tinggi dalam masa yang pendek.

"Ini semua tidak akan terjadi tanpa sokongan daripada peminat serta media di blog, portal, televisyen dan akhbar. 

"Nak ikutkan tidak ramai yang tahu saya mempunyai sebuah lagu. Saya bersyukur, usaha selama ini berbaloi, tetapi masih belum puas dengan apa yang ada setakat ini," katanya yang dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Sehingga kini, muzik video Siapa Diriku berjaya mendapat sebanyak 1,022,908 tontonan di Youtube.



Dalam pada itu, walaupun ramai yang memberi respons positif mengenai terhadap muzik video berkenaan, terdapat segelintir pihak menyifatkan Ayda cuba meniru muzik video Meghan Trainor, All About The Bass.

Bagaimanapun, Ayda mengakui dia ada meniru konsep muzik video penyanyi antarabangsa berkenaan, namun bukan secara keseluruhan.

"Sebenarnya muzik video All About The Bass merupakan inspirasi saya dalam klip video Siapa Diriku. Saya hanya meniru konsepnya dengan memasukkan kanak-kanak dan selebriti seperti Fasha Sandha, Mawar Rashid, Michael Ang dan Datuk Jalaludin Hassan.

"Saya tidak berkecil hati pun dengan kritikan orang kerana bagi saya baguslah, orang samakan muzik video saya dengan penyanyi antarabangsa. Sekurang-kurangnya saya mencuba,"ujarnya.

Sementara itu, Ayda kini sedang merancang untuk muncul dengan single lagu kedua pula dan ia masih lagi dalam perbincangan.

Katanya memandangkan Siapa Diriku mendapat respons yang sangat baik, dia juga mahu memastikan lagu keduanya turut berbaloi diperdengarkan kepada umum.

"Jika ketika penggambaran saya begitu cerewet dengan skrip dan baju yang dipakai, begitu juga dengan lagu, saya sangat cerewet dengan pemilihan lagu dan lirik yang ingin diketengahkan.

"Saya mahu ia benar-benar sesuai dengan jiwa saya. Barulah saya gembitra dan orang lain pun suka," tuturnya.

Ayda Jebat

Artikel Berikut

Artikel Lain