suria

Che Ta Bengang Dieksploitasi Penjual Produk

Rozita Che Wan
PETALING JAYA:Pelakon Rozita Che Wan berasa kesal masih ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan namanya untuk melariskan jualan produk masing-masing.

Rozita, 42, berkata, lebih membuatkan dia berasa bengang apabila gambarnya disunting memegang botol produk kecantikan keluaran terbaharu seolah-olah dia mempromosikan produk berkenaan.

"Apa yang mereka (penulis blog) tulis adalah fitnah! Saya anggap itu taktik kotor pengeluar produk mengeluarkan artikel dan gambar saya seperti  itu dengan tujuan untuk mempengaruhi orang ramai.

"Saya masih lagi duta kepada produk Rysya dan makanan tambahan Longevite. Berani betul blog itu membuat tanda pangkah pada gambar produk yang saya gunakan itu," katanya kepada mStar Online pada Rabu.

Artikel kononnya Rozita menggunakan produk baharu dan wajah dia bersama produk berkenaan turut dipaparkan.

Artikel yang dikeluarkan di sebuah blog kononnya Rozita kini menggunakan produk kecantikan baharu adalah laporan yang tidak benar.

Malah artikel itu juga membuat laporan palsu dengan mendakwa Rozita tidak menggunakan produk keluaran syarikat yang melantiknya sebagai jurucakap.

Sebaliknya artikel itu ditulis kononnya Rozita menggunakan produk baharu dan wajah dia bersama produk berkenaan turut dipaparkan.

Sementara itu, kata pelakon yang popular menerusi drama Kiah Pekasam  itu, pengasas produk yang diwakilinya akan mengambil tindakan terhadap pihak terbabit yang memutarbelitkan fakta bertujuan mengelirukan orang ramai.

Dalam pada itu Rozita turut berasa pelik dengan sikap peniaga online yang suka menggunakan namanya bagi mempromosikan produk yang dijual.

"Ini bukan kali pertama. Dah banyak kali saya berdepan dengan situasi seperti ini. Saya pelik apabila nama saya selalu digunakan untuk melariskan produk.

"Sepatutnya mereka perlu yakin dan percaya dengan produk yang dikeluarkan sekiranya ia produk yang bagus. Tak perlu guna nama siapa-siapa pun.

"Bagaimanapun saya harap perkara ini tidak akan terjadi lagi pada masa akan datang," tegasnya.
Rozita Che Wan

Artikel Lain