suria

Zara Zya & Azwan Kombos Bercakap Dengan Motor Dalam 'Man Rider'

Zara Zya

PETALING JAYA: Pelakon Zara Zya mengakui terpaksa membayangkan setiap pergerakan serta suasana sekeliling dalam panggambaran yang menggunakan teknik janaan komputer CGI merupakan cabaran utamanya dalam drama Man Rider yang bakal disiarkan pukul 8.30 malam, Isnin di TV9.

Zara berkata, beberapa adegan dalam drama tersebut memerlukan dia untuk melakonkan aksi lawan dan bercakap dengan sebuah motosikal yang sebenarnya tidak wujud.

"Drama ini banyak guna CGI, jadi saya perlu membayangkan sendiri suasana tempat tersebut serta beberapa aksi saya dengan sebuah moto ajaib.

"Namun semuanya berjalan lancar dengan bantuan semua kru produksi," ujarnya kepada mStar Online.

Selain itu, dugaan berlakon dalam bulan Ramadan lalu juga menjadi pengalaman manis buat dirinya.

Selain Zara, barisan pelakon yang turut terlibat dalam drama ini ialah Azwan Kombos, Shamsul Ghau Ghau, Hamdan Senario dan Usop Cecupak.

Salah satu babak lakonan Azwan dalam Man Rider.

Dalam pada itu, pengarahnya Indra Putra atau Sanji berkata, drama genre aksi komedi ini menggunakan 70 peratus teknik CGI dengan kualiti terbaik yang memberi kelainan antara drama ini dengan drama lain.

Sanji berkata, ketelitian yang diberikan terhadap drama ini dibuat bermula daripada peringkat penulisan skrip hingga proses penggambaran.

“Proses untuk menghasilkan sesebuah drama atau filem berkonsepkan CGI dengan menggunakan teknik VFX memerlukan kerja yang teliti bermula daripada pra produksi (semasa penulisan skrip) sehinggalah ke proses penggambaran," ujarnya.

Sementara itu, Sanji berkata cabaran lain yang dihadapi oleh krew dan pengarah Man Rider adalah semasa merakamkan pergerakan setiap watak ketika berkomunikasi antara satu sama lain.

Jelasnya, pergerakan perlu dibuat secara manual dan memerlukan penghayatan gaya yang betul bagi memastikan mimik muka serta reaksi kedua-dua watak manusia ini nampak lebih realistik apabila mata, dan mulut mereka dibuat dengan menggunakan kesan khas itu.

Drama Man Rider mengisahkan tentang Leman lakonan Azwan Kombos, seorang anak  yatim piatu yang sentiasa menyimpan impian untuk menjadi adiwira sehingga terbawa-bawa sehingga ke dewasa.

Impian Leman akhirnya dimakbulkan apabila kapcai milik Tok Ayah, datuknya diresapi kuasa UFO sehingga mampu terbang, berkata-kata, mempunyai kuasa ajaib dan mempunyai perasaan seperti manusia biasa.

Drama Man Rider bakal bersiaran pada Isnin, pukul 8.30 malam di TV9.

Zara Zya, Azwan Kombos, Man Rider

Artikel Lain