suria

Awie, Erra & Ziana Zain Terserlah Atas Satu Pentas

KUALA LUMPUR: Konsert Teaterikal Suara Kita mengandingkan Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain yang berlangsung pada malam Isnin di Panggung Sari, Istana Budaya membuktikan aura dan kehebatan ketiga-tiga artis ini masih sama seperti dahulu.

Biarpun usia ketiga-tiga artis ini masing-masing sudah mencecah 40-an, namun mereka mampu membawa penonton untuk kembali ke era 20 tahun lalu dengan memberikan persembahan bertenaga.

Konsert yang terbahagi kepada dua segmen itu dibuka dengan nyanyian lagu-lagu popular ketiga-tiga artis berkenaan antaranya Puncak Kasih, Yang Terindah Hanyalah Sementara dan Bara.

Segmen pertama itu membawa penonton mengimbau kenangan terhadap lagu-lagu popular sekitar tahun 1990-an.

Lebih menarik, seramai hampir 1,500 penonton turut bersama-sama mengiringi nyanyian ketiga-tiga artis ini yang membawakan 22 buah lagu popular mereka.

Awie Ziana

Vokal mantap Awie dan Ziana tidak perlu dipertikaikan.

Bagi segmen kedua, persembahan lakonan dalam bentuk teater yang dipetik daripada lima buah filem lakonan mereka iaitu Sembilu, Sembilu 2, Tragedi Oktober, Maria Mariana dan Merah turut menarik perhatian.

Adegan-adegan romantik antara Awie dan Erra Fazira antara yang ditunggu-tunggu penonton. Awie turut menyelitkan adegan lucu yang mencuit hati.

Selain itu, Erma Fatima selaku pengarah persembahan berjaya menyusun babak-babak 'trademark' menggabungkan kelima-lima filem tersebut menjadi satu karya baharu tanpa mencacatkan jalan cerita asal.

Konsert tersebut turut menampilkan gitaris undangan iaitu Mira Fana dan Edrie Hashim bagi mengiringi nyanyian Awie bertajuk Bujang Senang.

Antara lagu yang dinyanyikan ialah Kekal, Bersama Akhirnya, Pasrah, Jendela, Anggapanmu, Nur Nilam Sari, Ku Cinta Padamu, Ratuku, Di Ambang Wati, Senja Nan Merah dan Tragedi Oktober.

Erra dan Awie melakonkan semula salah satu adegan filem Sembilu yang menampilkan mereka pada tahun 1995.

Turut hadir pada malam tersebut Datuk Yusof Haslam dan isteri, Datin Patimah Ismail.

Konsert selama 2 jam 30 minit ini berlangsung dari 3 Mac sehingga 9 Mac ini di Panggung Sari, Istana Budaya di sini. 

Bagi peminat yang ingin menyaksikan persembahan ini, tiket dijual dengan harga berharga RM79 sehingga RM499 boleh dibeli di kaunter Istana Budaya.

Artikel Lain