suria

Sikap Mudah Percaya Punca Hafiz Suip Mangsa Penipu

Hafiz mengakui sikapnya yang mudah mempercayai orang antara penyebab dia senang menjadi mangsa penipuan.

KUALA LUMPUR: Penyanyi Hafiz Suip menjelaskan, sikapnya yang mudah mempercayai orang antara penyebab dia senang menjadi mangsa penipuan.

Enggan mendedahkan secara terperinci mengenai perkara yang berlaku itu, Hafiz atau nama sebenarnya, Mohd Hafiz Mohd Suip, 24, berkata, keadaan itu membuatkan dia terpaksa lebih berhati-hati pada masa depan.

"Dari dulu lagi saya seorang yang tidak berkira, jujur dan mudah mempercayai orang. Apabila terjumpa dengan individu yang salah, saya pula ditipu ketika menjalani sebuah urusan yang melibatkan jual beli.

"Dan ini merupakan kejadian yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila," katanya kepada mStar Online.

Hafiz ditemui pada majlis sidang media Minggu Setiausaha, A Golden Moment With Hafiz di restoran Serai, Life Centre di sini pada Isnin.

Sebelum ini Hafiz mendedahkan dia pernah tiga kali menjadi mangsa penipuan kontraktor yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan pengubahsuaian rumah ibu bapanya di Kuching, Sarawak.

Tambah Hafiz, sehingga kini dia masih risau akan jika ada pihak cuba mengambil kesempatan terhadapnya.

Sementara itu, A Golden Moment With Hafiz anjuran COOP Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dengan kerjasama AMI Global Sdn Bhd, bakal diadakan di dewan megah Matrade Hall, Matrade Exhibition & Convention, Jalan Duta di sini pada 22 April depan.

Hafiz berkata, ia merupakan penglibatan pertamanya dalam Minggu Setiausaha dan berasa berdebar untuk menjayakan persembahan tersebut.

"Apabila bercakap mengenai Minggu Setiausaha, biasanya ia hanya melibatkan artis-artis gred A dan bertaraf penghibur, sedangkan saya masih baru dalam arena seni suara.

"Harus saya akui, gementar untuk menjayakan acara ini namun kepercayaan yang diberikan penganjur memberi keyakinan untuk saya mencuba. Saya akan belajar skil berkomunikasi dengan penonton di YouTube sebagai persediaan tambahan," ujarnya.

Pada persembahan itu nanti, Hafiz turut bersama rakan seangkatan iaitu Adira.

Selain itu, pelakon dan pengarah Afdlin Shauki pula akan bertindak sebagai pengacara majlis berkenaan.

Tiket berharga RM780 (Platinum), RM680 (Emas) dan RM580 (Perak) boleh ditempah dengan menghubungi talian 03-29005526, Azizah (012-2013501, Yusri (019-2513575) dan Ariff (016-4458748).

Artikel Lain