suria

'Kokolog' Papar Tanggungjawab Sosial Bantu Golongan Susah

Kokolog menampilkan Qi sebagai pengacara program.

PETALING JAYA: Kekurangan pengetahuan masyarakat mengenai keistimewaan koko membuatkan pihak stesen televisyen TV9 muncul dengan program terbaharu berjudul Kokolog.

Penerbit Eksekutif Kokolog iaitu Wan Sabariah Shikh Ali berkata, dengan kerjasama Lembaga Koko Malaysia (LKM), program tersebut adalah untuk memperkenalkan penggunaan koko di kalangan masyarakat di samping sebagai usaha untuk meningkatkan penggunaan koko tempatan.

"Tujuan utama penerbitan program ini adalah untuk mendidik dan menyebarkan maklumat mengenai kegunaan, khasiat dan kebaikan Koko secara berterusan dan sistematik kepada penonton.

"Kokolog menampilkan resipi unik menggunakan produk berkaitan koko sama ada serbuk koko, kepingan coklat masakan atau lemak koko sebagai sebahagian daripada bahan," katanya kepada mStar Online.

Tambah Wan Sabariah, kehadiran Qi Razali sebagai pengacara Kokolog turut akan memberi kelainan dalam program tersebut.

Chef selebriti juga akan menjadi sebagai tetamu jemputan menerusi segmen memasak dimana mereka akan membuat pelbagai sajian masakan berasaskan coklat.

Dalam pada itu, Kokolog turut muncul dalam sebuah segmen khas menunaikan tanggungjawab khidmat sosial dengan mencari golongan-golongan susah untuk memberikan sedikit sumbangan.

"Antara bantuan-bantuan yang diberikan Kokolog termasuklah membantu kanak-kanak yatim yang ingin menjadi tukang masak profesional di mana Kokolog akan membantu mereka membiayai kos pengajian di mana-mana akademi masakan.

"Selain itu pihak kami juga memberi sumbangan kepada seniman Datuk Jamil Sulong yang kini sedang uzur. Sumbangan tersebut adalah sebagai memperingati jasa beliau dalam bidang seni tanahair," ujarnya.

Kokolog akan disiarkan setiap hari Ahad 9bermula hari ini, pukul 10 pagi di TV9.

Untuk maklumat lanjut sila layari www.tv9.com.my. 

Qi Razali, Kokolog, TV9

Artikel Lain