suria

Karya 'Di Bawah Lindungan Kaabah' Dikaji Selama Setahun

Barisan pelakon yang terlibat dalam teater 'Di Bawah Lindungan Kaabah'. Foto Ong Soon Hin
Barisan pelakon yang terlibat dalam teater 'Di Bawah Lindungan Kaabah'. Foto Ong Soon Hin

PETALING JAYA: Produksi CTRA Production telah mengambil masa selama setahun mengkaji Karya ulama terkenal, Allahyarham Profesor Hamka iaitu Di Bawah Lindungan Kaabah sebelum memutuskan untuk menjadikannya sebagai sebuah pementasan teater.

Penerbitnya, Siti Rohayah Atan berkata, kajian rapi dibuat supaya plot penting karya tersebut dimuatkan dalam teater tersebut selain membayangkan barisan pelakon yang sesuai untuk watak-wataknya.

"Selama kajian dibuat, kami cuba pendekkan novel tersebut untuk dimuatkan dalam teater mengikut tempoh masa yang sesuai. Ia bukannya mudah kerana kami tidak mahu tertinggal mana-mana plot cerita yang penting.

"Dalam pada itu, kami juga telah berjumpa dengan anak-anak Allahyarham bertanyakan tentang penyewaan hak cipta untuk dipentaskan ke Istana Budaya. Mujurlah tiada masalah untuk hal itu," katanya.

Tambah Rohayah, pemilihan karya penulis Indonesia itu juga sebagai usaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menarik pelancong dari negara tersebut dan sekitar Nusantara seperti Singapura dan Brunei untuk menyaksikan teater tersebut.

Di Bawah Lindungan Kaabah mengisahkan seorang pemuda bernama Hamid yang baik, bersopan-santun, patuh kepada ibu dan tidak pernah meninggalkan suruhan Allah S.W.T sejak kecil.

Dia dibesarkan dalam kehidupan yang susah, menumpang kasih dan ilmu agama dari Engku Jaafar dan Mak Asiah, serta membesar bersama anak mereka bernama Zainab.

Setelah remaja, Hamid dan Zainab menyimpan perasaan kasih antara mereka tetapi hanya tersimpan dalam hati.

Hamid yang cuba menyingkirkan perasaan itu kerana telah menganggap Zainab sebagai adik sendiri, membawa diri mengembara hinggalah ke Tanah Suci Mekah.

Antara barisan pelakon yang terbabit dalam pementasan tersebut ialah Adi Putra, Nasha Aziz, Elfira Loy, Dafi, Zila Bakarin dan Liza Abdullah.

Di Bawah Lindungan Kaabah yang diarahkan oleh Rosminah Mohd Tahir bakal dipentaskan bermula 9 hingga 18 Mei depan di Panggung Sari, Istana Budaya.

Harga tiket teater ini dijual serendah RM30 hingga RM200. Ia boleh dibeli dengan melayari www.AirAsiaRedTix.com.

Artikel Lain