suria

Mariah Carey Sedia Bantu Kerjaya Anak Whitney Houston

Mariah mahu membantu Bobbi melancarkan karier nyanyiannya.
Mariah mahu membantu Bobbi melancarkan karier nyanyiannya.

PENYANYI terkenal, Mariah Carey mahu membantu anak kepada mendiang Whitney Houston iaitu Bobbi Kristina Brown bagi melancarkan karier nyanyiannya.

Daily Mail melaporkan Mariah melihat potensi besar pada Bobbi yang mempunyai bakat nyanyian luar biasa dan kelebihan itu wajar diketengahkan.

"Projek berkenaan pada asalnya idea Randy Jackson dan apabila Mariah mendapat tahun mengenainya dia sendiri menawarkan diri untuk membantu Bobbi mempermudahkan kariernya.

"Bukan hanya kerana Bobbi anak kepada Whitney yang juga rakan baik Mariah tetapi kerana gadis itu mempunyai bakat luar biasa seperti mendiang ibunya," kata sumber penyanyi itu.

Mariah dan Whitney berkawan rapat sejak mereka berduet dalam sebuah lagu berjudul When You Believe pada 1997 walaupun sebelum itu mereka dikatakan bermusuhan.

Untuk rekod, Mariah adalah artis wanita paling berjaya dalam sejarah muzik di Amerika Syarikat dengan penjualan album sebanyak 200 juta salinan di seluruh dunia dengan pelbagai pencapaian sepanjang 25 tahun kariernya.

Dalam pada itu, sumber tersebut turut memberitahu, Mariah akan menggunakan pengaruh dan pengalamannya dalam bidang muzik untuk membantu Bobbi.

Penyanyi berusia 44 tahun baharu sahaja melancarkan single terbaharunya berjudul You're Mine (Eternal) dan album terbaharunya berjudul The Art of Letting Go akan berada di pasaran pada 6 Mei depan.

Artikel Berikut

Artikel Lain