suria

'Bedah Kerana Resdung, Bukan Mahu Cantik' - Ajai

Ajai telah menjalani pembedahan hidung pada Oktober tahun lalu di Pusat Perubatan Tropicana. Foto IBRAHIM MOHTAR
Ajai telah menjalani pembedahan hidung pada Oktober tahun lalu di Pusat Perubatan Tropicana. Foto IBRAHIM MOHTAR

PETALING JAYA: Komposer Ajai meminta semua pihak agar tidak membesarkan isu kononnya dia telah menjalani pembedahan hidung untuk tujuan kecantikan tetapi perkara itu dilakukan atas sebab-sebab kesihatan.

Ajai atau nama sebenarnya, Mohd Faizal Maas, 40, berkata, dia telah menjalani pembedahan hidung pada Oktober tahun lalu di Pusat Perubatan Tropicana di sini selepas gegendang telinganya rosak akibat masalah resdung yang teruk.

"Saya harap tidak ada lagi yang buat cerita saya bedah hidung untuk mencantikkan wajah. Tidak sama sekali.

"Sebaliknya saya telah melakukan pembedahan besar yang mengambil masa selama lima jam menukar batang hidung selepas masalah resdung saya menjadi teruk sehingga mengganggu pendengaran saya.

"Selepas membuat pemeriksaan, doktor terus menasihatkan saya untuk menjalani pembedahan dengan segera," katanya.

Ajai ditemui pada majlis pelancaran program Jemput Masuk Cef! di restoran Talent Lounge, Menara Bata, di sini pada Isnin.

Tambah penyanyi lagu Aduh itu, walaupun sejak pembedahan tersebut dia tidak lagi mengalami masalah resdung, hidungnya masih belum sembuh sepenuhnya dan perlu menjalani rawatan lanjut selama setahun.

Sementara itu, mengenai Jemput Masuk Cef! Ajai buat pertama kalinya menggalas tanggungjawab sebagai pengacara program tersebut bersama tukang masak selebriti iaitu Chef Kamarul.

Program ini menyaksikan Kamarul menyediakan pelbagai menu masakan tempatan di kediaman Ajai sendiri dan makanan tersebut akan dijamu kepada selebriti-selebriti popular yang dijemput sebagai tetamu jemputan.

"Alhamdulillah, saya berani mencuba mengendalikan program ini kerana ia berkonsep santai dan hanya perlu menjadi diri sendiri.

"Lebih seronok, saya bukan menemu bual barisan artis berkaitan hal industri hiburan tetapi lebih kepada hal-hal aktiviti harian mereka," ujarnya.

Jemput Masuk Cef! menampilkan 12 pasangan selebriti antaranya Rozita Che Wan dan Zain Saidin, Fasha Sandha dan Jejai, Mawi dan Ekin, Datuk Fazley dan Azrin, Johan Nawawi dan Nora, Keith Foo dan Nabila Huda serta Farawahida dan Abdul Syukur.

Program tersebut akan disiarkan setiap Rabu dan Khamis bermula 12 Februari ini di TV3.

Artikel Berikut

Artikel Lain