suria

Gafim Minta RTM Kaji Semula Penggantungan Sitkom '88 Kopitiam'

Jurey Latiff
Jurey Latiff

PETALING JAYA: Gabungan Persatuan Karyawan Malaysia (Gafim) berharap RTM akan menilai semula penggantungan sementara sitkom 88 Kopitiam berikutan salah seorang pelakonnya muncul dalam video sindiran sempena Tahun Baharu Cina berjudul 'Onederful Malaysia'.

Presidennya, Jurey Latiff Rosli berkata, adalah tidak adil program itu digantung kerana hanya seorang pelakon terlibat dalam video berkenaan.

"Jika pengisian sitkom itu bagus diharap RTM akan menyambung kembali penyiarannya.

"Siasatan yang dijalankan juga perlu adil dan saksama kepada semua pihak," katanya kepada The Star ketika dihubungi pada Ahad.

Jurey mengulas tindakan RTM memberhentikan penyiaran sitkom 88 Kopitiam buat sementara waktu yang memaparkan isi-isu semasa dalam kalangan masyarakat Cina.

Ia disiarkan di TV2 pada setiap hari Isnin pukul 7 malam.

Video 'Onederful Malaysia' yang membabitkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok itu tersebar luas di laman Youtube sejak Isnin lalu dan telah dikritik hebat oleh ahli politik dan badan bukan kerajaan (NGO).

Dalam pada itu, Jurey berkata, seseorang pelakon itu harus tahu latar belakang sesuatu projek yang ditawarkan kepada mereka sebelum membuat sebarang persetujuan.

"Seseorang pelakon harus mengetahui jalan cerita sesebuah projek itu dan kesannya sebelum bersetuju," katanya.

Sementara itu, penerbit dan pengarah, Datin Paduka Shuhaimi Baba berkata, RTM mempunyai hak untuk memberhentikan program tersebut sepanjang siasatan dijalankan.

Kata Shuhaimi, beliau yakin RTM dapat mencari penyelesaian terbaik bagi pihak lain dalam sitkom berkenaan yang tidak terlibat dengan insiden tersebut.

Akhbar Nanyang Siang Pau pada Ahad lalu melaporkan pihak polis akan merekodkan kenyataan pelakon tersebut iaitu Lin Jing Miao ekoran pembabitannya dalam video berkenaan.

Manakala menerusi satu entri di laman Facebook, Lin berkata, dia adalah seorang pelakon profesional namun bersedia untuk memberi kerjasama kepada pihak polis.

Dalam perkembangan sama, Kok ketika menghadiri acara rumah terbuka Tahun Baharu Cina memberitahu penggantungan 88 Kopitiam tiada kena mengena dengannya selain tidak mengenali sesiapa daripada sitkom berkenaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain