suria

Dikhuatiri Ciplak, AIM Nilai Semula Lagu Amran Ismail & W.A.R.I.S

Amran Ismail
Amran Ismail
Amran Ismail

KUALA LUMPUR: Dua buah lagu dalam kategori hip hop iaitu Botingkek nyanyian kumpulan W.A.R.I.S dan Ini Janjiku nyanyian Amran Ismail akan dinilai semula daripada sudut melodi bagi memastikan karya itu asli supaya ia layak dipertandingkan menerusi Anugerah Industri Muzik 20 (AIM 20).

Ketua juri, Datuk Ramli MS berkata, jika kedua-dua lagu itu adalah karya ciplak, ia secara automatik akan dikeluarkan daripada senarai calon akhir AIM 20.

"Kami akan nilai dan selidik semula kedua-dua buah lagu ini sama ada ia memenuhi syarat yang ditetapkan atau tidak.

"Dari segi penilaian keaslian sesebuah lagu kita akan melihat lagu tersebut daripada segi melodi, nada, cara penyusunan dan mestilah tidak melebih empat bar daripada nota muzik lagu yang didakwa mempunyai persamaan," katanya selepas sidang media pengumuman senarai calon akhir AIM 20 di Hotel Istana di sini pada Khamis.

Ramli berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai status dua buah lagu iaitu Botingkek dan Ini Janjiku yang didakwa mempunyai persamaan dengan lagu luar.

Namun begitu, jika lagu tersebut hanya inspirasi kepada lagu lain dan tidak banyak persamaan ia akan dibenarkan untuk dipertandingkan.

"Muzik sebenarnya agak sukar untuk dinilai dengan tepat kerana ia tidak didaftar namun melodi lagu tersebut didaftar.

"Bagi lagu hip hop lagi sukar untuk dinilai kerana ia tiada nada dan melodi," katanya.

Sementara itu, tiga calon iaitu Hafiz Suip, Hazama dan Amir Jahari mendapat pencalonan terbanyak iaitu masing-masing empat kategori iaitu Album Terbaik, Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (lelaki), Kulit Album Terbaik dan Rakaman Album Terbaik.

Kategori Persembahan Vokal Terbaik di dalam lagu turut memperlihatkan pencalonan pendatang baharu iaitu Ronnie (Hyper Act) dan Najwa Mahiaddin bersaing di kalangan nama-nama besar industri muzik seperti Faizal Tahir, Hafiz Suip, Datuk Siti Nurhaliza dan Jaclyn Victor.

Penambahan kategori baharu iaitu Persembahan Vokal Duo Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu pula menyaksikan paduan suara penyanyi ternama tanah air termasuk Sedetik Lebih gandingan Anuar Zain dan Dayang Nurfaizah, In Love With You nyanyian Noh Salleh dan Aizat Amdan serta Lari gandingan Sleeq dan Hazama.

AIM 20 bakal berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 14 Disember depan akan disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria.

Enam daripada 17 senarai calon akhir AIM 20

Album Terbaik

Anuar & Dayang Live At Dewan Filharmonik Petronas - Anuar Zain dan Dayang Nurfaizah

Kali Pertama - Asmidar

Asalkan Aku OK - Awi Rafael

Luahan Hati Anak Seni - Hafiz Suip

Penglipur Lara - Hazama

Artis Baru Terbaik

Alex Subryn

Jes Ebrahim

Mosyi

Sekumpulan Orang Gila

Yubiq

Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki)

Azlan & The Typewriter - Tanda Tanya

Faizal Tahir - Biar

Hafiz Suip - Bahagiamu Deritaku

Hazama - Relakan Jiwa

Ronnie (Hyperact) - Hanya Aku

Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita)

Adira - Dewi Cinta

Datuk Siti Nurhaliza – Galau

Dayang Nurfaizah - Seandainya Masih Ada Cinta

Jaclyn Victor - Ikut Rentakku

Najwa - Impian Terindah

Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Berkumpulan)

Forteen – Kita

Inteem – Syafaatmu

Nowseeheart - Maafkan Aku

Saujana - Salam Atasmu

UNIC - Ya Hanana

Lagu Pop Terbaik

Sekadar Mimpi – Adira

Senafas Baru - Jaclyn Victor

Ikut Rentakku - Jaclyn Victor

Bosan – Stacy

Lelaki - Yuna

Artikel Lain