suria

Restoran Baharu Khadijah Ibrahim Bakal Bantu Artis

Khadijah akan mengundang artis veteran untuk membuat persembahan di restoran miliknya iaitu Khadijah's Kitchen di Setapak, Kuala Lumpur.
Khadijah akan mengundang artis veteran untuk membuat persembahan di restoran miliknya iaitu Khadijah's Kitchen di Setapak, Kuala Lumpur.
Khadijah akan mengundang artis veteran untuk membuat persembahan di restoran miliknya iaitu Khadijah's Kitchen di Setapak, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Penyanyi Khadijah Ibrahim berhasrat membantu artis veteran dengan menjemput mereka membuat persembahan di restoran cawangan terbaharu miliknya iaitu Khadijah's Kitchen di PV 128, Setapak d sini untuk menghiburkan pelanggan.

Khadijah berkata, persembahan itu mungkin akan diadakan pada hari Jumaat dan Sabtu setiap hujung bulan sebagai penghargaan kepada pelanggan yang menikmati hidangan di restorannya.

"Pentas untuk membuat persembahan adalah perkara pertama apabila saya mengambil keputusan untuk membuka cawangan restoran ini kerana saya berhasrat untuk membantu golongan artis dengan menyediakan platform buat mereka menghiburkan peminat.

"Selain dapat membuat persembahan dan bertemu peminat mereka, ini adalah salah satu cara saya untuk membantu mereka menambahkan pendapatan," katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis pelancaran restoran tersebut pada malam Rabu.

Khadijah berkata, setakat ini dia telah mengundang beberapa artis seperti Zaiton Sameon, Nash dan Ramli Sarip untuk mengadakan persembahan di restoran itu.

"Selain artis veteran ruang pentas tersebut turut terbuka kepada artis-artis yang ingin membuat persembahan terutamanya penyanyi berbakat yang sedang mencari tapak di dalam dunia nyanyian," katanya.

Dalam pada itu, bercakap mengenai restoran terbaharunya itu, Khadijah berkata, dia sudah lama merancang untuk membuka sebuah lagi restoran dan baharu kini impian itu terlaksana selepas mendapat lokasi yang baik.

Bagaimanapun kata Khadijah, dia tertarik untuk membuka restoran di Setapak kerana kebetulan lokasi restoran itu adalah tempat dia membesar suatu ketika dahulu yang banyak meninggalkan memori.

"Dulu kawasan ini hanyalah tanah terbiar dan saya membesar dan bersekolah di Setapak. Apabila melihat kawasan ini sudah maju dan berkembang saya cukup bangga.

"Membuka sebuah restoran di kawasan ini meninggalkan banyak memori kepada saya dan sebab itu juga saya memilih lokasi ini," katanya.

Jelas Khadijah lagi, dia mengambil masa selama lima bulan untuk melancarkan restoran berkenaan dan turut melakukan kaji selidik mengenai makanan dan pelanggan.

Sementara itu, Khadijah berkata, dia masih mengekalkan konsep restoran asalnya sepeti di Petaling Jaya dari segi dekorasi dan konsep selain mengekalkan menu yang menjadi kegemaran pelanggan.

Jelas Khadijah, dia akan memastikan kualiti makanan yang disediakan akan terjaga selain mengambil kira kehendak pelanggan di kawasan tersebut.

"Selain menawarkan menu seperti mana di restoran Petaling Jaya saya turut membuat hidangan ala-carte dan menu set untuk pelanggan yang mengejar masa," katanya.

Dalam perkembangan lain, Khadijah berkata, walaupun ralat persembahan Malam Amal Bersama Tiga Diva yang telah ditunda sebanyak dua kali sebelum ini, dia sedikit lega apabila pihak penganjur memberitahu majlis berkenaan akan diteruskan pada 26 November depan.

Persembahan itu turut menampilkan Datuk Sharifah Aini dan Uji Rashid bagi membantu golongan ibu tunggal di negeri Selangor.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain