suria

Teater Jadikan Jihan Musa Lebih Yakin Diri

Jihan Musa
Jihan Musa
Jihan Musa

KUALA LUMPUR: Pelawak Jihan Musa menganggap bidang teater yang diceburi menjadi perkara asas untuk dirinya menjadi seorang pelawak dan pelakon yang baik.

Jihan, 30, berkata, dengan ilmu dalam bidang seni pentas ini mampu memberi keyakinan dalam dirinya untuk berada dihadapan kamera.

"Saya menceburi bidang teater ini sejak tujuh tahun yang lalu dan mempunyai kumpulan teater sendiri.

"Bagi saya, teater ini adalah hobi yang tidak boleh dipisahkan, biarpun saya kini banyak terlibat dengan program komersial. Pernah saya tinggalkan lebih tujuh bulan kerana terlalu sibuk, namun saya seperti kehilangan sesuatu," katanya kepada mStar Online.

Jihan turut terlibat dalam teater Maduku Kalut yang akan dipentaskan di Lambang Sari, Istana Budaya pada 27 hingga 30 September ini pada pukul 8.30 malam.

Tambah Jihan, dia banyak mengaplikasikan ilmu di bidang teater dalam lawak dan lakonannya.

Sementara itu, Jihan mengakui kerjayanya sebagai pelawak bergerak agak perlahan, namun dia percaya berada di landasan yang betul dalam industri ini.

"Bagi saya perkembangan kerjaya saya bergerak perlahan, saya seperti melangkah perlahan tetapi berada di arah yang betul.

"Walaupun tidak popular, namun kalau boleh saya mahu terus berada dalam industri dan tidak dilupakan," katanya.

Bercakap tentang pelawak wanita, Jihan berkata, secara jujurnya dia berasa selesa kerana kekurangan tersebut membolehkannya berada dalam industri tanpa banyak persaingan.

Namun katanya, ia tidak sihat bagi industri yang lebih banyak tertumpu kepada pelawak lelaki sahaja.

"Saya ingin industri lawak kita meriah dengan pelawak wanita, setiap kali ada program lawak sudah tentu akan dikuasai pelawak lelaki sahaja.

"Saya harap ramai lagi wanita yang berani tampil untuk mengetengahkan bakat lawak mereka kerana pada saya industri lawak di Malaysia semakin berkembang dan diterima masyarakat," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain