suria

Hafiz Hamidun Berjaya Beri Terapi Melalui Konsert

Matlamat Hafiz dalam usaha memberi terapi kepada penonton berjaya. Foto FalynaCreative
Matlamat Hafiz dalam usaha memberi terapi kepada penonton berjaya. Foto FalynaCreative
Matlamat Hafiz dalam usaha memberi terapi kepada penonton berjaya. Foto FalynaCreative

KUALA LUMPUR: Penyanyi nasyid Hafiz Hamidun menyifatkan penggunaan medium teknologi sosial seperti Twitter dan Facebook adalah antara sebab Konsert Zikir Terapi Diri Hafiz Hamidun berjaya.

Konsert berkenaan di adakan pada malam Rabu lalu sempena menyambut tahun baru Hijrah. Ia diadakan di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, dekat sini yang berjaya mencatatkan 2,000 penonton.

Hafiz, 28, berkata, konsert itu mencapai matlamatnya dalam usaha memberi terapi kepada penonton dalam bentuk lagu-lagu irama berkenaan.

"Alhamdulillah, saya percaya medium teknologi sosial mampu menarik perhatian umum dalam menguar-uarkan sesuatu perkara, termasuklah konsert ini.

"Berbekalkan album Zikir Terapi Diri yang dipasarkan pada tahun lalu, saya menerima respons yang positif daripada peminat menerusi komen-komen di Twitter dan Facebook.

"Kemudian, saya mengambil kesempatan itu dengan mempromosikan konsert saya kepada mereka di dua laman sosial popular itu, dan Alhamdulillah ia berjaya," katanya yang ditemui selepas konsert itu tamat.

Tambah Hafiz, dia juga bersyukur apabila konsert yang pertama kali dianjurkan syarikatnya iaitu Arteffects International itu berjaya walaupun dengan hanya membabitkan modal yang tidak besar iaitu RM150,000.

Bermula tepat pada pukul 9 malam, konsert dimulakan dengan persembahan Imam Muda Najdi yang membawakan zikir Tola'Al Badru 'Alaina dan Solla 'Alaikallah, diikuti dengan Fitri Haris (Subhanallah dan Suara Azan). Manakala Izzat Mahadi pula membawakan lagu Aku Tanpa Cintamu serta Garisan.

Walaupun pentas yang dibina tidaklah seperti penganjuran konsert-konsert lain, namun kemantapan vokal Hafiz sudah cukup berjaya membuai penonton yang turut mengalunkan zikir bersama-samanya.

Penonton juga diberi kejutan dengan kemunculan pengarah filem Syamsul Yusof apabila dia bersama rakannya iaitu Anwar Fazal Abu Bakar turut mempersembahkan zikir Ya Rabbi.

Dalam pada itu, beberapa selebriti terkenal seperti Ashraf Muslim, Iqram Dinzley dan Yatt Hamzah turut hadir menyaksikan konsert tersebut.

Artikel Sebelum

Suami Gembira Marshanda Gemuk

Artikel Lain