suria

Fizo Omar Habis Ribuan Ringgit Di Kota Bangkok

Inilah beg besar Fizo yang hanya memuatkan pakaian baru yang dibelinya di Bangkok.
Inilah beg besar Fizo yang hanya memuatkan pakaian baru yang dibelinya di Bangkok.
Inilah beg besar Fizo yang hanya memuatkan pakaian baru yang dibelinya di Bangkok.

BANGKOK: Pelakon Fizo Omar menghabiskan ribuan ringgit untuk membeli pakaian yang bakal digunakan bagi tujuan sesi fotografi dan juga penggambaran drama serta filem ketika berada selama empat hari di Bangkok, Thailand di sini.

Fizo, 27, berkata, sebagai artis, seseorang itu perlu mempunyai koleksi pakaian yang banyak memandangkan syarikat produksi tempatan tidak menyediakan kostum untuk watak-watak tertentu dalam sesebuah karya yang dibintanginya.

“Saya mengaku, terdapat beratus-ratus helai koleksi pakaian yang saya simpan. Semuanya saya beli untuk digunakan bagi tujuan sesi fotografi dan juga penggambaran,” katanya.

Fizo ditemui mStar Online pada Isnin ketika menyertai percutian bersama media tajaan AirAsia selama empat hari di kota Bangkok bermula Jumaat lalu.

Turut sama para pegawai syarikat penerbangan itu termasuklah Pembantu Khas kepada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, Edd Razhe.

Para rombongan turut dibawa melawat lapangan terbang Dong Mueang yang telah diubahsuai menjadi pusat pendaratan pesawat tambang rendah yang mula beroperasi sejak 1 Oktober lalu.

Sebelum ini semua pesawat domestik dan antarabangsa mendarat di lapangan terbang Suvarnabhumi di sini.

Fizo berkata, dia tidak mementingkan jenama tetapi memadailah pakaian yang dibelinya itu sedap dipakai selain bersesuaian dengan bentuk tubuhnya.

Kata Fizo, sepanjang empat hari berada di Bangkok, dia telah membeli berpuluh-puluh helai pakaian yang dijual secara pukal di pusat belai belah Platinum Mall di sini.

Katanya, keistimewaan Bangkok kerana ia merupakan destinasi pilihan tepat bagi mereka yang benar-benar suka berfesyen kerana terdapat banyak koleksi terkini pakaian yang dijual dengan harga yang murah.

Fizo berkata, dia turut membeli baju T yang dijual dengan harga kira-kira RM30 sehelai serta kasut dengan corak menarik yang diperolehnya dengan harga RM150.

“Saya tidak malu untuk memberitahu yang saya juga memakai baju T berharga RM30. Saya sanggup menghabiskan ribuan ringgit semata-mata untuk membeli pakaian yang sememangnya saya akan gunakan untuk tujuan kerjaya saya.

“Yalah... bila kita berlakon, orang bukan tahu pun harga baju yang kita pakai itu,” katanya.

Jelas Fizo, dia amat teruja berada di kota Bangkok selepas kali pertama mengunjunginya kira-kira 10 tahun lalu bagi menyaksikan perlawanan bola sepak persahabatan di antara pasukan Thailand dengan Real Madrid.

Bercerita mengenai percutiannya itu Fizo berkata, ia merupakan peluang yang menarik kerana sebelum ini dia sering bercuti ke Bandung, Indonesia dan Phuket, Thailand.

Sebagai seorang artis, Bangkok benar-benar memberi kepuasan khususnya bagi mereka yang gemar untuk membeli pakaian bagi tujuan bergaya.

Malah lebih menarik lagi Fizo turut berpeluang menginap di hotel lima bintang iaitu Sofitel So yang turut menyediakan kemudahan kelas pertama yang harganya kira-kira RM800 semalam.

Pihak hotel juga menaja Fizo untuk merasi pengalaman pakej urutan aromaterapi yang disediakan bagi menghilangkan stres kerana bekerja.

“Terus terang saya katakan, fikiran saya menjadi lebih relaks dan segala stres bekerja dapat dikurangkan selepas melalui urutan aromaterapi oleh tukang urut terlatih yang disediakan oleh pihak hotel kepada saya,” katanya.

Sementara itu Edd Razhe berkata, sebagai sebuah syarikat penerbangan yang mementingkan dunia hiburan, AirAsia sentiasa memberi peluang kepada golongan artis di negara ini merasai percutian yang ditaja pihak mereka secara percuma.

Katanya, golongan selebriti adalah aset yang berjaya mempopularkan syarikat itu yang seterusnya menyediakan peluang kepada golongan berkenaan menyertai pelbagai aktiviti yang mereka rancang.

Antara lain kata Edd, mereka di undang menjadi pengacara bersama dalam program Travelodge yang telah pun disiarkan sebelum ini, Destinasi Cinta Bersama AirAsia serta beberapa rancangan lain.

“Sejak AirAsia diperkenalkan, lebih 30 artis telah bekerjasama dengan kami melibatkan aktiviti yang berkaitan seperti pelancaran produk, menjadi pengacara bersama serta pengenalan destinasi baru,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain