suria

Ariel (Peterpan) Mahu Aktif Semula Selepas Bebas 23 Julai Ini

Ariel (Peterpan)
Ariel (Peterpan)
Ariel (Peterpan)

JAKARTA: Vokalis kumpulan Peterpan, Nazriel Irham atau Ariel sudah tidak sabar untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian selepas dibebaskan dari penjara pada 23 Julai ini.

Luahan itu disahkan penerbit album, Ibu Acin ketika bertemu dengan penyanyi itu, baru-baru ini.

“Sudah tentu dia (Ariel) berhasrat untuk melancarkan album terbaru bersama Peterpan. Mereka kini sudah menyiapkan sebuah buku dan merancang untuk melancarkan buku itu tidak lama lagi.

“Ini diikuti dengan perancangan untuk melancarkan album Peterpan yang tertunda kerana penahanan Ariel. Kemudian, mereka mahu meneruskan siri konsert. Mereka menyimpan impian yang besar.” kata Ibu Acin ketika di Blok M Plaza, Jakarta Selatan di sini seperti dipetik portal kapanlagi.com

Ketika ditanya mengenai kandungan buku yang bakal dikeluarkan oleh kumpulan itu, Ibu Acin enggan bercerita lanjut.

“Kandungannya berkaitan kisah peribadi dan tidak boleh diceritakan sekarang. Album mereka pula masih dalam proses rakaman, ia dijangka keluar pada tahun ini juga,” katanya lagi.

Ibu Acin berkata, dia berharap kemunculan album itu dapat mengembalikan populariti Peterpan seperti era kegemilangan mereka sebelum ini.

“Sudah tentu saya berharap mereka akan berjaya dengan kemunculan album baru nanti. Mari kita berharap dan berdoa agar ia dapat mengulangi kejayaan mereka seperti sebelum ini. Semoga semuanya berjalan lancar dan mereka selalu berada dalam rahmat Tuhan,” katanya.

Ariel yang sepatutnya dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun setengah bakal dibebaskan dari Rumah Tahanan Kebon Waru Bandung pada 23 Julai ini selepas menjalani 2/3 masa hukumannya.

Dia didapati bersalah kerana menghasilkan video lucah bersama aktres Luna Maya dan penyampai televisyen Cut Tari.

Artikel Berikut

Artikel Lain