suria

Akim Ahmad Berlakon Untuk Isi Masa Lapang

Akim Ahmad.
Akim Ahmad.
Akim Ahmad.

PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon, Akim Ahmad menjelaskan kerjayanya sebagai pelakon hanya untuk mengisi masa lapang dan menambah pengalaman sebagai seorang anak seni.

Akim, 21, berkata, dia akan memberikan tumpuan kepada karier nyanyian kerana itu adalah minat utamanya namun memberitahu akan terus berlakon jika diberi kepercayaan oleh pihak produksi.

"Saya seronok dapat berlakon kerana ia memberi satu cabaran lain buat saya sebagai seorang penyanyi. Bagaimanapun saya berlakon hanya kerana ingin memenuhi masa lapang dan mengutip pengalaman buat masa ini.

"Keutamaan saya kini adalah kepada nyanyian kerana itu adalah minat dan cita-cita saya tambahan pula kerjaya baru nak meningkat dan tumpuan perlu diberikan," ujarnya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Akim menafikan keputusan untuk menjadikan lakonan hanya untuk mengisi masa lapang kerana kecewa dengan penerimaan penonton terhadap filem Horre Horre yang gagal mendapat sambutan.

Akim menjelaskan dirinya langsung tidak kesal dengan sambutan filem itu sebaliknya memberitahu pengalaman yang diperolehinya sepanjang penggambaran sangat berharga.

"Lakonan sentiasa memberikan satu kepuasan lain dan untuk Horre Horre ia mungkin gagal mendapat sambutan penonton tetapi saya sendiri sebagai pelakon pelbagai perkara yang saya timba menerusi filem itu," katanya.

Tambah Akim, dia juga teringin untuk membawakan watak berat dan berlakon di pentas teater yang dianggap penghormatan buat seorang pelakon.

"Jika seseorang dapat berlakon teater bagi saya itu adalah tahap paling tinggi buat mereka kerana bukan mudah dan saya teringin untuk melakukannya suatu hari nanti," katanya.

Sementara itu, Akim gembira dengan kemunculan album pertamanya berjudul Akim Ahmad selepas hampir tiga tahun menunggu dan menganggap penantian itu berbaloi.

Mencipta dua buah lagi selain beberapa lirik untuk albumnya itu, Akim berkata dia berharap ia akan diterima baik oleh peminat yang sentiasa bertanyakan mengenai albumnya.

Antara lagu yang terkandung dalam album tersebut adalah Menunggu, Daya Cinta, Mesti Ada Cinta, Tentang Dia dan Yang Nyata.

Artikel Lain