suria

Elly Suriati Kagum Dengan Sharifah Aini

Elly Suriati.
Elly Suriati.
Elly Suriati.

PETALING JAYA: Pengarah filem Penanggal, Elly Suriati memberitahu begitu kagum dengan sikap profesional Biduanita Negara iaitu, Datuk Sharifah Aini ketika menjalani penggambaran untuk filem tersebut.

Elly berkata Sharifah Aini sangat komited dalam menjayakan watak Sharifah Aminah Jamalulai dalam filem tersebut yang sedang menjalani penggambaran di Kuala Kangsar, Perak.

"Setakat ini kita baru buat satu adegan dengan Kak Pah bersama Fasha Sandha dan komitmen beliau sebagai seorang pelakon sangat dikagumi dan tidak timbul sebarang masalah semasa di lokasi.

"Beliau juga sangat mesra dan gemar bergaul dengan semua orang ketika berada di set penggambaran. Kehadirannya cukup untuk memberikan semangat kepada saya dan semua kru terlibat," ujarnya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Elly berkata, dia berasa amat rendah diri apabila melihat kelibat Sharifah Aini di lokasi kerana tidak menyangka penyanyi itu bersetuju untuk berlakon di dalam filem arahannya.

Ujarnya, walaupun bergelar Biduanita Negara, penyanyi yang popular dengan lagu Seri Dewi Malam itu mudah mesra dengan orang lain selain tidak lokek berkongsi pendapat dan pandangan.

"Pada mulanya saya sangat gementar kerana Sharifah Aini berada di lokasi dan perlu memberi arahan kepadanya tetapi perasaan itu hilang kerana sifat ramahnya membuatkan semua pihak selesa dengan beliau," ujarnya.

Sementara itu, Elly memberitahu dia cukup gembira dan berterima kasih dengan semua pelakon dan krew produksi terlibat dalam pembikinan “Penanggal” yang sudah pun 75 peratus siap.

"Kita masih ada dua minggu lagi sebelum semuanya selesai dan setakat ini saya berpuas hati dengan komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua pelakon.

"Pujian harus diberikan kepada mereka dapat menyelesaikan kerja dalam masa yang ditetapkan," ujarnya.

Ditanya mengenai sebarang kejadian pelik yang berlaku di lokasi, Elly berkata setakat ini dia tidak mengalami sebarang gangguan dan berharap dijauhkan dengan perkara-perkara demikian.

"Setiap individu berbeza tetapi untuk diri saya, Alhamdulillahlah tidak pula sebarang perkara yang aneh berlaku dan berharap segalanya dapat selesai dengan baik," ujarnya.

Selain Sharifah Aini, Penanggal turut dibarisi oleh pelakon terkenal seperti Azri Iskandar, Zul Ariffin, Umi Nazeera dan Fasha Sandha.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain