Ernie Chin Tidak Sindir Pengkaji Paranormal - Hiburan | mStar

Ernie Chin Tidak Sindir Pengkaji Paranormal

PETALING JAYA: Pengarah filem Suatu Malam Kubur Berasap, Ernie Chen tiada niat menyindir pengkaji aktiviti paranormal dan mencedok idea filem komedi seram yang pernah ditayangkan sebelum ini.

Menurut Ernie, skrip yang ditulis oleh Sasha dan idea oleh Hakim itu digarap hasil perbincangan bersama yang hanya bertujuan untuk menghiburkan penonton.

“Untuk adegan paranormal itu, kami hanya ingin menunjukkan selingan cerita tentang kewujudan paranormal yang berminat untuk mencari hantu di Kampung Angan Tak Sudah.

“Selain itu, kami akui filem ini mungkin mempunyai persamaan dengan filem lain tetapi secara umumnya kami hanya ingin memaparkan cerita yang mampu membuatkan penonton terkejut dan gelak ketawa,” katanya ketika sidang media selepas tayangan media filem tersebut di Cathay Cineleisure, Damansara, di sini, Selasa.

Walaupun filem tersebut belum, Ernie berkata pihak produksi outLOUD Studios Sdn Bhd akan berbincang untuk membikin sekuel filem ini pada minggu hadapan.

Katanya lagi, filem yang akan ditayangkan pada 22 Disember depan itu menelan kos RM1.3 juta termasuk promosi dan iklan.

Pihaknya turut menjaga sensitiviti orang Islam apabila membuat kubur palsu untuk babak yang melibatkan pelakon perlu baring di atas tanah perkuburan.

Selain itu, filem ini buat pertama kalinya menggabungkan lima alumni Raja Lawak iaitu Angah, Along, Azrul, Wira dan Faiz.

“Seperti yang diketahui keserasian Along dan Angah memang sudah nampak menerusi lakonan mereka sebelum ini. Buat pertama kalinya juga kami menyatukan Along dan Azrul yang berasal dari kumpulan Cham.

“Kami juga tidak mengetepikan alumni Raja Lawak yang lain seperti Wira dan Faiz dari Raja Lawak 4 kerana kami ingin mencungkil bakat mereka yang belum diketahui oleh penonton,” katanya lagi yang turut berlakon dalam filem ini.

Suatu Malam Kubur Berasap, turut membariskan pelakon Zach Diamond, Ruminah Sidek, Zami Ismail, Accapan dan pendatang baru, Nurul Ain Nordin.

Filem ini merupakan filem terakhir Zami atau lebih dikenali dengan nama Pak Uda yang meninggal dunia pada 19 Jun lalu akibat kegagalan jantung.

Artikel Sebelum

Akma (AF3) Jaga Batas Selepas Bertudung

Artikel Berikut

Filem Arahan Angelina Jolie Dapat Bantahan

Artikel Berkaitan

default image

Elly Suriati Menangis Kerana Keguguran

default image

Ayu Raudhah Sukar Lakonkan Aksi Intim

Lebih Artikel

Zidane, Lampard calon utama ganti Sarri