suria

Ahmad Jais Masih Di ICU Tetapi Stabil

PETALING JAYA: Penyanyi veteran Datuk Mohd Jais Ahmad atau dikenali sebagai Ahmad Jais, 75, yang dimasukkan ke Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC) Shah Alam dekat sini, Ahad lalu masih lagi berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) tetapi dilaporkan stabil.

Anak keempatnya, Maimun, 31, berkata bapanya kini masih tidak sedarkan diri kerana dipengaruhi ubat tidur yang diberikan oleh pihak hospital.

"Ayah masih di ICU dan tidak sedarkan diri tetapi apa yang diberitahu doktor keadaannya semakin stabil dan tekanan darah juga sudah normal.

"Bagaimanapun, doktor sedang menunggu dia sedar dahulu sebelum membuka alat bantuan pernafasan yang digunakan," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.

Menurut Maimon, pihak hospital memberitahu selepas ubat tidur berkenaan habis dan ayahnya sedar, pihak hospital akan mencabut alat batuan pernafasan tersebut.

Dalam pada itu, Maimon turut berkata ramai peminat yang datang melawat bapanya namun tidak dibenarkan masuk kerana masih mendapat rawatan rapi oleh pihak hospital.

Ahmad Jais dimasukkan ke unit rawatan separa rapi di pusat perubatan itu pada Sabtu lalu selepas mengalami masalah sesak nafas.

Beliau dikhabarkan mengadu penat selepas pulang daripada membuat persembahan di Batu Pahat, Johor, pada 8 September lalu, tetapi sakitnya mula serius pada malam Khamis lepas sehingga terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan di Hospital Pakar KPJ Selangor, Shah Alam.

Beliau kemudian dipindahkan ke DEMC awal pagi Ahad kerana mempunyai rekod perubatan di situ.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain