suria

Buah Tomato Serikan Wajah Elizad

Siti Elizad
Siti Elizad
Siti Elizad

PEMERGIAAN arwah ibu tersayang, Nazariah Mohd Salleh,62, pada 4 April lalu meninggalkan kenangan pahit buat pelakon Siti Elizad Mohd Sharifuddin, 27.

Namun kehidupan harus diteruskan, biarpun episod duka baru berlalu walaupun dia mengakui sehingga ke saat ini masih tidak dapat melupakan belaian dan kasih sayang seorang ibu.

Mengakui bulan Ramadan tahun ini memberikan seribu kelainan apabila insan tersayang tiada di sisi, pelakon filem Gangster, Berlari Ke Langit dan Rock ini tetap meraikannya bersama-sama keluarga adiknya di Ampang, Selangor.

Apabila ibu sudah tiada, saya merasai kelainan sewaktu berbuka puasa kerana sebelum ini pasti saya risaukan ibu yang mengidap Parkinson.

"Jadi, suasana Hari Raya Aidilfitri tahun ini juga dirasakan suram apabila meraikannya tanpa ibu. Saya mungkin akan menumpang beraya di rumah kawan kerana adik-beradik lain sudah berkahwin dan beraya dengan keluarga masing-masing," katanya kepada OopStarz!

Memandangkan Elizad tidak mempunyai tawaran berlakon selepas selesai penggambaran drama Jamilah, I Love You! di Astro Ria dan drama komedi sempena Hari Raya di TV9, dia banyak menumpukan kepada ibadat puasa dan melakukan solat terawih.

Sambil berbual, Elizad sempat berkongsi tip untuk berpuasa bagi mereka yang menghidapi penyakit gastrik sepertinya.

"Biasanya saya mengamalkan tabiat bersahur setiap kali bulan Ramadan. Saya sedar, kita tidak boleh membiarkan perut kita kosong jika menghidapi gastrik. Jadi, saya sebelum bersahur saya akan makan ubat terlebih dahulu sekitar pukul empat pagi.

"Kalau tidak nanti perut saya akan masuk angin dan membuatkan saya akan berasa mual," katanya.

Menurut Elizad lagi, dia tidak banyak makan nasi dan kurang mengambil makanan berat lain. Biasanya dia turut mengamalkan pengambilan pil suplemen untuk menambah tenaga di bulan Ramadan agar terus bertenaga," katanya.

Berkongsi tentang petua kecantikan pula, Elizad menggunakan buah tomato untuk menyerikan muka dengan memprosesnya terlebih dahulu.

"Saya membuat topeng muka menggunakan tomato yang dihancurkan dengan menggunakan sudu dan kemudian menyimpannya dalam peti ais agar ia tidak busuk.

"Saya amalkan petua ini tiga hari sekali untuk melicinkan kulit serta menjadikan kulit nampak kemerah-merahan.

"Sebelum ini, muka saya selalu nampak pucat. Walaupun muka telah disapu mekap, tetap tidak kelihatan berseri.

"Setelah mendapat petua daripada pembantu rumah, saya mencuba petua ini bermula tahun lepas. Nampaknya ia mendatangkan hasil," katanya.

Bimbang usia 30 tahun

Beberapa tahun lagi, usia Elizad bakal mencecah 30 tahun. Disebabkan faktor itu, dia selalu berasa resah lebih-lebih lagi dirinya belum berkahwin.

Sebagai persediaan awal, Elizad mengamalkan pengambilan suplemen dan krim kelangsingan daripada farmasi untuk mendapatkan bentuk badan yang cantik.

"Saya jarang ada peluang untuk ke gimnasium, jadi saya mengambil langkah untuk makan pil pelangsingan badan dan menyapu krim pada bahagian yang berlemak. Saya juga menyapu sabun kolagen pada badan.

"Pembantu rumah saya selalu berpesan supaya orang bujang seperti saya dapat menjaga kecantikan sebelum berkahwin bagi mengelakkan wajah nampak tua sebelum usia," ceritanya.

* Artikel ini dipetik dari Mingguan mStar yang diterbitkan setiap Ahad bersama Sunday Star sekitar Lembah Klang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain