suria

Diana Danielle Mahu Produser Utamakan Hak Pelakon

Diana Danielle
Diana Danielle
Diana Danielle

KUALA LUMPUR: Pelakon Diana Danielle menyarankan supaya penerbit filem atau drama agar mengutamakan hak para pelakon tentang penjagaan masa kerja, insurans dan hak persaraan.

Menurut Diana, kebanyakan penerbit suka mengambil mudah dengan mengabaikan tiga perkara berkenaan lebih-lebih lagi soal persaraan yang bermaksud memberi royalti terhadap lakonan mereka yang diulang siar.

"Sebenarnya, hak berkenaan boleh diamalkan berdasarkan kepada persetujuan di antara pelakon dan pihak penerbit. Apabila ramai pelakon tidak tahu tentang hal ini, maka pihak penerbit akan berdiam diri.

"Begitu juga dengan masa. Bayangkan, setelah saya menandatangani kontrak, masa kerja akan bercelaru dan kadangkala ia 48 jam tanpa henti," kata Diana yang ditemui sempena Simposium Hari Himpunan Bintang Kosmo!/MyIPO 2011 di Double Tree by Hilton Hotel, di sini Selasa lalu.

Tambah Diana, sepatutnya para pelakon dihadkan waktu bekerja iaitu selama 12 jam sehari dan jika pihak penerbit memerlukan masa yang lebih untuk khidmat mereka, para pelakon seharusnya diberi ganjaran bayaran lebih masa.

Selain itu, tegas Diana, adalah wajib bagi semua pelakon memastikan bahawa mereka diberi perlindungan insurans sebelum memulakan penggambaran agar mereka mendapat jaminan sekiranya perkara yang tidak diingini berlaku.

“Kita tidak tahu apa yang akan berlaku di set penggambaran ataupun ketika sedang berlakon. Jadi perlindungan amatlah perlu untuk golongan seperti kami,” katanya.

Bagaimanapun, sebagai pelapis baru, pelakon Hanyut ini mengandaikan masih ramai lagi pelakon yang tidak tahu mengenai hak-hak yang harus mereka peroleh.

"Saya harap, mereka (pelakon baru) sedar dan peka tentang perkara tersebut supaya mereka tidak mudah dipergunakan oleh sesetengah penerbit yang tidak bertanggungjawab

"Dan kalau boleh, biarlah para pelakon diberi panduan kadar bayaran asas minimum yang ditetapkan kerajaan supaya mereka tidak menerima harga yang rendah dan tidak berpatutan dengan kerja yang dilakukan," tegasnya.

Sementara itu, Diana yang mengambil kursus jangka pendek ke Sekolah Filem & Lakonan Akademi Filem New York di Los Angeles (NYFA) akan menyambung pengajiannya pada tahun depan.

Artikel Lain