suria

Fouziah Gous Pernah Mahu Bersara

KALAU diikutkan, pembabitan aktres Fouziah Gous dalam dunia hiburan tanah air bukan baru setahun dua.

Mula menapak sebagai model pada sekitar 2006, wanita berketurunan Pakistan, Melayu dan Cina ini diperkenalkan ke dunia lakonan menerusi pengarah dan pensyarah Prof Madya A. Razak Mohaideen.

Kini selepas hampir enam tahun bergelumang dalam arena glamor ini, jenama Fouziah hakikatnya tidaklah segah mana. Memang dia dikenali tetapi tidak sensasi seperti segelintir aktres lain.

Bahkan, lebih ramai pendatang baru yang jauh lebih popular daripada bekas pramugari Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) ini. Apabila menyentuh isu itu, memang tidak dinafikan antara puncanya adalah kerana Fouziah kurang dicemari kontroversi.

Turut diakui empunya badan, dia memang jarang dikaitkan dengan gosip atau cerita-cerita nakal.

Paling heboh diperkatakan pun setakat ini adalah keintimannya dengan aktor Iqram Dinzly. Itu pun, palitan tersebut tidaklah sehangat mana jika dibandingkan kontroversi yang melanda rakan-rakan artis seangkatannya.

Mengulas perkara itu, Fouziah yang ditemui dalam sesi fotografi bersama OopStarz! baru-baru ini berkata: “Bagi saya, tidak guna kalau kita hanya popular dan glamor tetapi kerjaya tidak kukuh.

“Apa yang lebih penting adalah tawaran lakonan itu berterusan dan sekali gus ia dapat mengukuhkan kewangan dan simpanan masa depan.

“Kalau hendak mengejar populariti pun, biarlah orang nampak dan memperakui kerja kita agar kedua-duanya seiring.”

Berlakon hanya untuk wang

Terang Fouziah, antara faktor penyumbang yang membuatkannya ‘dingin’ daripada palitan kisah sensasi adalah bertitik-tolak daripada keraguannya sendiri terhadap cabang seni yang dipilihnya itu.

“Sebenarnya, jiwa saya mulanya bukan pada lakonan. Saya cintakan bidang peragaan dan suka bergambar. Jujurnya, pada permulaan kerjaya, saya hanya berlakon untuk mendapatkan wang.

“Sebab itu, saya tidak kisah pun soal popular atau kontroversi. Apa yang saya utamakan adalah mendapat pelbagai tawaran berlakon,” katanya.

Dek kepuasan minimum itu, Fouziah pernah terfikir untuk berundur diri. “Pernah sampai satu tahap, saya terfikir untuk tidak mahu berlakon lagi kerana tidak puas dengan apa yang dilakukan.

“Namun, sokongan dan kepercayaan peminat dan pihak-pihak tertentu terhadap potensi saya membuatkan saya semakin mencintai dunia lakonan,” katanya.

Hari ini, Fouziah mengakui semakin obses dengan periuk nasinya itu dan mahu terus memperbaiki dan mendalami bidang yang dipilih.

“Lakonan kini sudah menjadi sebahagian hidup saya. Saya mula merasakan betapa saya sayang pada bidang seni sejak dua tahun kebelakangan ini.

“Saya sedar terlalu banyak perkara yang perlu diperbaiki dan dalami. Oleh itu, saya teringin untuk bekerja dengan lebih ramai pelakon dan pengarah berkaliber untuk menjadi pelakon berwibawa pada masa akan datang,” katanya.

Iqram bagai adik

Diusik pula tentang lelaki yang dikaitkan dengannya iaitu aktor Iqram Dinzly, Fouziah berkata keakraban dan keserasian mereka menyukarkan rasa cinta untuk bertandang.

“Sebenarnya, lebih dalam kita mengenali seseorang itu lebih sukar untuk perasaan cinta terbit. Dalam kes saya dan Iqram, kami terlalu rapat seperti adik-beradik.

“Kami banyak persamaan dan tahu kelebihan serta kekurangan masing-masing, jadi tidak mungkin boleh bercinta pula.

“Tapi memandangkan ramai sudah melabelkan kami bercinta, jadi tidak mengapalah kami layankan sahaja walaupun itu tidak berlaku,” katanya.

Katanya lagi: “Memang Iqram seorang lelaki yang baik pekerti dan selepas beberapa tahun mengenalinya, saya memang cukup selesa dengan keikhlasannya.

“Namun, ada kalanya dia sangat manja. Malah, saya sudah anggapnya seperti adik sendiri. Tak mungkinlah saya hendak bercinta dengan lelaki yang sudah dianggap seperti saudara sendiri,” katanya.

Sambung Fouziah yang masih solo, jika dia mencari lelaki, sebolehnya biarlah lelaki itu boleh mengawal serta membimbingnya.

“Memang saya berjumpa ramai lelaki tetapi untuk mencari seseorang yang boleh dijadikan teman dan calon suami bukan perkara mudah.

“Sehingga hari ini masih belum ada lelaki yang benar-benar memikat hati saya. Saya percaya ia akan menyusul apabila tiba waktunya.

“Buat masa ini, lebih baik saya tumpukan perhatian pada kerjaya yang kian berkembang,” katanya yang baru menyambung kontrak bersama produk kecantikan Alaisyah.

Menyingkap aktiviti terbarunya, Fouziah kini terikat dengan penggambaran drama bersiri Kala Terbit Cinta untuk saluran TV Al-Hijrah.

Selain menunggu tayangan filem Rasuk menjelang 23 Jun depan, wajah Fouziah kini boleh ditonton dalam drama seram Mantera Anjasmoro pada setiap Khamis pukul 9.30 malam di TV3.

Foto RAYMOND OOI Solekan EPIE TEMERLOH (019-3445429) menggunakan M.A.C Dandanan CHEZ HAIR STUDIO (017-9726213) Pakaian BUTIK MIMPIKITA, Bangsar Lokasi PNB Darby Park Executive Suites (Terima kasih Rizahuddin Sohari)

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain