suria

17,000 Karyawan Seni Dapat Faedah Penubuhan Majica

Sebahagian daripada Ahli Jawatankuasa Magica bagi penggal 2011/2013. Dari kiri, Khair Mohd Noor, Harun Salim Bachik, Jurey Latiff dan Yusof Kelana.
Sebahagian daripada Ahli Jawatankuasa Magica bagi penggal 2011/2013. Dari kiri, Khair Mohd Noor, Harun Salim Bachik, Jurey Latiff dan Yusof Kelana.
Sebahagian daripada Ahli Jawatankuasa Magica bagi penggal 2011/2013. Dari kiri, Khair Mohd Noor, Harun Salim Bachik, Jurey Latiff dan Yusof Kelana.

KUALA LUMPUR: Persatuan Jawatankuasa Tindakan Bersepadu Multimedia Dan Kandungan Kreatif (Majica) yang baru ditubuhkan bakal membela nasib 17,000 ahli terdiri daripada penggiat-penggiat seni yang merasakan selama ini ditindas.

Presidennya Jurey Latif Mohd Rosli berkata, jawatankuasa yang disertai enam persatuan itu akan membawa isu-isu berbangkit kepada pihak berwajib selepas pihaknya mengadakan mesyuarat jawatankuasa kali pertama dalam tempoh dua minggu lagi.

“Kami begitu serius untuk melihat industri seni berkembang. Selama ini suara penggiat seni tidak dihiraukan tetapi dengan tertubuhnya persatuan bertindak ini, kami yakin suara kami akan menjadi lebih kuat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat agung tahunan pertama bagi penggal 2011/2013 di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di sini, Rabu.

Jurey berkata antara isu yang masih tidak dapat diselesaikan ialah mengenai royalti dan harta intelek, diskriminasi stesen penyiar, kawalan kemasukan filem asing serta kadar belian harta kreatif tempatan yang rendah di semua stesen televisyen.

Katanya, dengan tertubuhnya Majica, beberapa perkara utama termasuklah bayaran kepada pekerja-pekerja filem yang rendah dapat diatasi.

“Atas nama Majica, satu pendekatan lebih agresif akan kami lakukan dan beberapa isu yang tertangguh akan dapat diselesaikan dengan segera.

“Pihak kami juga akan berjumpa dengan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais yatim untuk berbincang beberapa perkara untuk kepentingan ahli-ahli Majica secepat mungkin,” katanya.

Ditanya mengenai keanggotaan Majica, jelas Jurey ia terbuka kepada semua pihak dan persatuan yang mempunyai kaitan secara langsung dalam bidang seni.

Sementara itu dalam mesyuarat agung pertama itu, pemilihan jawatankuasa Majica telah dilakukan.

Selain Jurey dilantik sebagai Presiden, persatuan tersebut turut dianggotai oleh Harun Salim Bachik (Timbalan Presiden), Khair Mohd. Noor (Naib Presiden), Yusof Kelana (Setiausaha), Mohd. Jamil Abdul Mutalib (Penolong Setiausaha), Yoki Chin (Bendahari) dan Datuk Nor Effendy (Penolong Bendahari). Majica turut mempunyai tujuh Ahli Jawatankuasa.

Enam persatuan yang menyertai persatuan itu pula ialah Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTM), Persatuan Seniman Malaysia, Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Persatuan Penulis Skrin Malaysia (Swam) dan Persatuan Syarikat Post Produksi dan Animasi Malaysia (Postam).

Artikel Lain