suria

Angka 40 Dalam Hidup Hans Isaac

RIAK wajah lelaki bernama Gerald Hans Isaac ini nampak gusar dan berserabut sewaktu pertemuan bersama OopStarz! berlangsung, petang Isnin lalu.

Dalam kesibukannya menerajui pementasan mega LAT Kampung Boy Sebuah Muzikal (LKBSM) bermula 16 Mac ini, pastinya pelbagai aspek dan perincian berlegar di minda pelakon dan penerbit yang kini bergelar pengarah teater itu.

Memahami tekanan dan tanggungjawab yang dipikulnya, pemecah bicara kami sengaja menyimpang kepada cerita remeh-temeh demi mendapatkan keserasian.

Daripada kisah privasi sehinggalah menyentuh pementasan mega itu, Hans tidak lekang dengan hilai-tawa serta gestur spontan yang mewarnai perbualan kami.

Bicara soal wanita

Teka-teki mengenai pasangan hidup terus menjadi persoalan pengarah filem Cuci ini. Apatah lagi, usianya yang bakal menginjak 40 tahun menjelang 20 Ogos depan. Hans akur dan tidak dapat mengelak daripada soalan klise itu.

Walaupun sudah berulang-kali soalan keramat itu diajukan, Hans seperti kebiasaannya, tidak pernah mengelak untuk berkongsi perkembangan terbaru kisah cintanya.

Pernah dikaitkan dengan dua aktres jelita seperti Elaine Daly dan Erra Fazira, sehingga kini Hans masih mencari wanita terbaik untuk disunting sebagai suri hidup.

Ditanya tentang hubungannya dengan model warga Brazil yang pernah diperkatakan sebelum ini, Hans memberitahu, jarak jauh yang memisahkan mereka tidak menunjukkan sebarang potensi untuk membawa hubungan itu ke fasa seterusnya.

Pelakon yang bakal muncul dengan filem Misteri Jalan Lama tidak lama lagi ini menyifatkan status hubungan mereka sebagai kawan biasa sahaja.

"Jarak jauh di antara kami menyukarkan hubungan itu untuk berlangsung seperti diharapkan. Namun, kami masih berhubung dan berkongsi cerita perkembangan masing-masing," katanya.

Menariknya, walaupun Hans mengakui tidak terdesak untuk mencari teman hidup, hal tersebut menjadi perkara penting di kalangan teman rapatnya.

"Isu jodoh ini sudah menjadi perkara yang serius di kalangan teman rapat saya. Walaupun saya tidak terdesak untuk mencari pasangan, tetapi perkara itu dianggap penting oleh rakan-rakan.

"Rakan-rakan yang sememangnya mengetahui ciri-ciri wanita idaman saya sanggup mengaturkan pertemuan dengan beberapa wanita untuk saya kenali.

"Memang saya ada keluar dan mengenali beberapa wanita tetapi sejujurnya sehingga ke hari ini masih belum bertemu wanita yang serasi dan secocok," katanya.

Walaupun mengakui tidak terdesak mencari pasangan, Hans tidak menyangkal kekosongan dan kesunyian mula dirasai terutama sekali apabila bersendirian di rumah.

"Saya akui ada waktunya memang berasa sunyi dan kosong terutamanya apabila bersendirian di rumah selepas pulang dari kerja.

"Bukannya apa, adakalanya saya perlukan seorang teman yang boleh berkongsi sebarang cerita tetapi malangnya itu tidak berlaku pada waktu ini," katanya yang percaya jodoh akan menyusul apabila tiba waktunya.

LKBSM sehebat muzikal antarabangsa

Penanda aras yang tinggi ditinggalkan oleh pementasan Cuci The Musical 1 dan 2 membuatkan pemilik syarikat produksi Tall Order Productions ini berdepan cabaran untuk menghasilkan LKBSM lebih besar dalam segenap aspek.

Apatah lagi, untuk pementasan kali ini Hans bukan sahaja bertindak sebagai penerbit tetapi turut bertanggungjawab dalam menentukan hala tuju dan kelancaran teater itu di kerusi pengarah.

"Sebenarnya, tugas sebagai penerbit jauh lebih sukar daripada mengarahkan teater. Sebagai penerbit, saya perlu meyakinkan pihak penaja untuk membiayai pementasan ini dan ia bukan tugas mudah.

"Dalam aspek pengarahan pula, saya mendapat sokongan sepenuhnya daripada pengarah bersama, Harith Iskander yang sentiasa berkongsi idea dan pandangan untuk memantapkan lagi pengisian dan persembahan LKBSM.

"Saya bersyukur dan teruja dengan tanggungjawab kali ini kerana mendapat pasukan kerja yang berdedikasi dan komited. Paling menggembirakan saya apabila setiap kali melihat gelak tawa anak-anak kecil yang turut terlibat dalam LKBSM ini. Ia benar-benar menghilangkan tekanan yang dihadapi," katanya.

Kata Hans, sebagai 'kepala' pementasan itu, dia perlu memastikan LKBSM menjadi sebuah pementasan segah seperti yang dicanang-canangkan.

Pementasan LKBSM bakal berlangsung di Istana Budaya bermula 16 Mac hingga 3 April dengan membariskan Awie sebagai Lat, Atilia (Faizah - isteri Lat), Jalil Hamid (bapa Lat), Omar Abdullah (Tan Sri Abdul Samad Ismail), Douglas Lim (Frankie), Sandra Sodhy (Mrs Hew) dan Pushpa Narayan (Ms Thambi).

Artikel dipetik daripada sisipan OopStarz! dalam Mingguan mStar keluaran 13 Mac 2011.

Foto ART CHEN Solekan SHAMNINA OMAR (019-3686619) menggunakan LAURA MERCIER Lokasi MODESTO’S, The Curve, Mutiara Damansara (Terima kasih Andry Wong & Mohd)

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain