suria

Album ‘Kalau Berpacaran’ Sudah Dijual

Sohaimi kini muncul dengan album baru.
Sohaimi kini muncul dengan album baru.
Sohaimi kini muncul dengan album baru.

PETALING JAYA: Setelah hampir setahun berkumandang corong radio, kini peminat lagu Kalau Berpacaran boleh mendengar lagu tersebut dengan memiliki album berjudul Kalau Berpacaran… The Album yang baru berada di pasaran.

Lagu yang menjadi kegilaan ramai ini adalah kolaborasi penyanyi terkenal awal 80-an, Sohaimi Mior Hassan bersama dua penyanyi dari generasi baru, Altimet dan Ana Raffali.

Bermula daripada penghasilan sebuah single, Sohaimi telah berjaya mengembangkan ideanya dengan menerbitkan album tersebut.

Lagu Kalau Berpacaran ini adalah merupakan ciptaan Sohaimi sepenuhnya ketika menghadiri program “Cipta Ekspres” yang dianjurkan oleh Badan Pelindung Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP) di Port Dickson pada tahun lalu.

Menggabungkan irama A Go Go dan Hip Hop, Kalau Berpacaran merupakan sebuah lagu nasihat seorang bapa kepada anak perempuannya tentang perilaku ketika bercinta.

Lirik lagu ini banyak menyentuh pantang-larang ketika berpacaran berkisar daripada budaya masyarakat Melayu yang telah menjadi pegangan sejak turun-temurun. Lagu ini turut menambat hati pendengar dengan unsur agama yang turut diselitkan.

Album terbitan Tele-infra Teknologi Sdn Bhd edaran Warner Music ini turut dimuatkan dengan dua buah lagu klasik, Epilog Cinta yang turut dikenali sebagai Epilog Cinta Dari Bromley dan “Ros” yang diinspirasikan daripada bakal isterinya bernama Ros, ketika itu tapi telah diolah dan diberi nafas baru yang lebih santai.

Sohaimi juga menyampaikan sebuah lagu yang berentak asli dalam lagu Hikayat Negeri Antah Berantah, membuktikan dia begitu versatil dalam nyanyiannya. Lagu Demokrasi yang judul asalnya Ini Bukan Demokrasi Kita juga telah ditukar susunan muziknya menjadi lebih bertenaga.

Menerusi lagu Seru pula, Sohaimi telah berpadu suara dengan Mus, dari kumpulan May. Diselitkan juga di dalam album ini ialah Kalau Berpacaran (versi asal) di mana hanya melibatkan Sohaimi dan Altimet sahaja.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain