suria

Ainina Ahmad B Malu Berlakon Selepas Sepuluh Tahun

Ainina Ahmad B, dua dari kanan bersama barisan pelakon drma Beret Hijau
Ainina Ahmad B, dua dari kanan bersama barisan pelakon drma Beret Hijau
Ainina Ahmad B, dua dari kanan bersama barisan pelakon drma Beret Hijau

PETALING JAYA: Pelakon Ainina Ahmad B mengakui berasa kekok dan malu ketika melakonkan watak seorang ibu dalam drama Beret Hijau selepas 10 tahun meninggalkan kerjaya itu.

Jelas Ainina, perasaan yang dirasakan ketika itu sama seperti pada awal lakonannya ketika mula menceburkan diri dalam bidang tersebut pada awal 90-an.

“Lakonan saya dalam Beret Hijau adalah drama pertama selepas 10 tahun tidak berlakon. Saya rasa terlalu kekok apabila melakonkan watak ibu kepada watak utama.

“Namun begitu saya rasakan kepuasan apabila dapat berlakon semula. Ia seperti ketika awal pembabitan saya dalam dunia lakonkan dulu, rasa kekok dan malu-malu,” katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun dia mampu menjiwai watak seorang ibu dengan lebih baik kerana sudah mempunyai dua cahaya mata.

“Saya dapat bawakan watak ibu dengan rasa kasih seperti seorang ibu, mungkin disebabkan saya juga sudah mempunyai dua orang anak.

“Ini juga merupakan kali pertama saya memainkan peranan seorang ibu,” katanya yang menganggap 2011 merupakan tahun untuknya kembali bergiat aktif dalam bidang lakonan.

Tambah Ainina, dia impikan sebuah watak berat yang mampu menguji semula bakat lakonannya yang lama ditinggalkan.

Kemunculan semulanya ke industri seni ini juga berikutan penerimaan masyarakat terhadap pelakon bertudung sudah semakin terbuka.

“Bukan saya tidak mahu untuk berlakon tapi keadaan ketika itu yang kurang memberi peluang kepada pelakon bertudung. Sekarang saya lihat ramai pelakon yang bertudung yang boleh membawakan pelbagai watak.

“Masyarakat dan produksi-produksi juga sudah mula terbuka dan beri peluang kepada wanita bertudung,” kata isteri kepada Rahmad (Mega) ini.

Ditanya tentang kegiatannya selama 10 tahun menyepi, jelas Ainina, dia masih melakukan kerja-kerja di belakang tabir bagi melepaskan kerinduan terhadap bidang lakonan.

“Saya rasakan seperti tidak boleh lari dari bidang ini, biarpun cuba untuk buat perniagaan tapi jiwa masih lagi mahu menjadi seorang pelakon.

“Oleh itu saya menerima tawaran untuk buat suara latar dan alih bahasa, ia juga seperti berlakon. Tapi kepuasannya tidak sama seperti kita berlakon kerana kita bercakap bagi pihak orang lain,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain