suria

Farish Aziz Nikah Peguam 18 Februari

Farish Aziz
Farish Aziz
Farish Aziz

BANGSAR: Pelakon dan pengacara, Farish Aziz, 27, bakal menamatkan zaman bujangnya dengan seorang peguam yang hanya mahu dikenali sebagai Zahrah, 27, pada 18 Februari depan di Sabah.

Menurut Farish, dia gembira kerana akhirnya dia ditemukan jodoh dengan wanita yang dicintainya sejak 14 tahun lalu dan berharap agar jodoh mereka berpanjangan sehingga akhir hayat.

"Memang sekarang ini kami sibuk dengan persiapan perkahwinan sehinggakan saya terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon buat sementara waktu.

"Alhamdulillahlah segala persiapan dibuat seperti yang dirancang dan kami akan mengadakan majlis resepsi pada 19 Februari depan berkonsepkan dalam taman," katanya yang ditemui pada pelancaran butik Mimpi Kita di sini, Rabu.

Tambahnya, dia tidak sangka hubungan cinta dengan Zahrah sejak di tingkatan satu Sekolah Menengah All Saints’ Kota Kinabalu, Sabah itu masih kekal sehingga kini walaupun tunangnya itu menyambung pelajaran dalam bidang undang-undang di Australia.

"Biasalah, setiap pasangan pasti ada pasang surutnya. Walaupun kerap kali bercinta jarak jauh, kami faham dengan kerjaya masing-masing dan tidak mengongkong sesama sendiri.

"Lebih-lebih lagi Zahrah seorang wanita yang memahami kerjaya saya sebagai seorang pelakon. Ramai yang tanya kenapa ambil masa terlalu lama? Tapi saya perlu kukuhkan kerjaya dahulu dan begitu juga dia.

"Apabila masing-masing bersedia, saya terus melamar dan bertunang dengannya pada 26 September 2010.

"Bagaimanapun, selepas kahwin, kami terpaksa tinggal berasingan buat sementara waktu kerana Zahrah masih bekerja di sebuah syarikat guaman di Sabah. Saya harap kami boleh menempuhi segala dugaan dan cabaran dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dan isteri," tuturnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain