suria

Amber Chia Tubuh Akademi Cari Model Pelapis

Amber Chia (dua dari kiri) bersama Benjamin (kiri), Desmond (kanan) selaku tenaga pengajar Amber Chia Academy manakala Datuk Jimmy Choo dijemput sebagai tetamu VIP semasa majlis pelancaran akademi itu di Jaya One, Petaling Jaya, Selasa. - Foto oleh KEVIN TAN
Amber Chia (dua dari kiri) bersama Benjamin (kiri), Desmond (kanan) selaku tenaga pengajar Amber Chia Academy manakala Datuk Jimmy Choo dijemput sebagai tetamu VIP semasa majlis pelancaran akademi itu di Jaya One, Petaling Jaya, Selasa. - Foto oleh KEVIN TAN
Amber Chia (dua dari kiri) bersama Benjamin (kiri), Desmond (kanan) selaku tenaga pengajar Amber Chia Academy manakala Datuk Jimmy Choo dijemput sebagai tetamu VIP semasa majlis pelancaran akademi itu di Jaya One, Petaling Jaya, Selasa. - Foto oleh KEVIN TAN

SUPERMODEL cantik dan seksi, Amber Chia, 28, menubuhkan akademi peragaan dan solekan iaitu Amber Chia Academy di Jaya One, Petaling Jaya demi mencari model pelapis pada masa akan datang.

Bukan itu sahaja, dengan tertubuhnya akademi yang turut dikelolakan oleh Benjamin Toong, 33, sebagai guru Catwalk dan Desmond Yoi, 33, (guru solekan), Amber (pengetua) juga telah berjaya merealisasikan impiannya sejak beberapa tahun lalu.

Amber akui, sudah tiba masanya untuk berkongsi pengalamannya selama 12 tahun dalam dunia peragaan ini dengan model pelapis lebih-lebih lagi dengan pertambahan usianya yang bakal mencecah 30 tahun.

Namun, tidak bermakna dia akan bersara dalam masa terdekat ini. Sedikit demi sedikit dia mula berkira-kira untuk memperlahankan kerjanya di pentas peragaan selepas melahirkan bayi sulungnya hasil perkahwinan dengan Adrian Wong sekaligus menumpukan kepada akademi tersebut.

“Sebenarnya sejak beberapa tahun lalu lagi saya dah merancang untuk membuka akademi ini tetapi tidak berjaya sebab sibuk dengan kerja dalam bidang peragaan. Jadi, sekarang saya sedang hamil dan terpaksa melupakan pentas peragaan dan catwalk.

“Lagipun sejak dua tahun lalu dalam 300 orang lelaki dan wanita yang menghantar emel kepada saya memberitahu niat mereka untuk bergelar seorang model. Akhirnya saya nekad untuk membuka akademi ini selepas menjayakan pertandingan Pencarian Supermodel Malaysia oleh Ford Models Inc.,” ujarnya dalam satu temubual semasa majlis pelancaran akademi tersebut di Amber Chia Academy, Jaya One, Petaling Jaya, Selasa.

Memandangkan dirinya sedang hamil tujuh bulan, Amber akan memberikan ceramah dan berkongsi pengalamannya dalam menjadi seorang model yang profesional.

Sementara Benjamin yang banyak mengajar ilmu catwalk kepada Amber sejak sembilan tahun lalu akan membuat perkara yang sama dalam akademi itu. Biarpun tidak pernah mendalami dan mempelajari ilmu catwalk, tetapi bekas pramugara itu akan memberikan tunjuk ajar berdasarkan tontonan sendiri di televisyen dan pengalaman dalam pencarian dan ujibakat model dengan pereka fesyen Keith Kee.

Selain itu, dia yang mempunyai agensi model iaitu Runway Productions juga bergelar jurulatih catwalk kepada beberapa supermodel Ford seperti Kelly Jagan sejak November tahun lalu.

“Saya akan mengajar model-model ini tentang cara berjalan dari A hingga Z. Oleh sebab itu, saya telah menempah semua jenis baju seperti mermaid, airline dan can can untuk mereka praktis semasa dalam kelas nanti,” kata Benjamin.

Dia juga merupakan model selebriti dan muse untuk Minggu Fesyen Stylo 2010 memperagakan busana Keith Kee dan Minggu Fesyen Mid Valley 2008.

Dalam pada itu, Desmond yang berpengalaman selama 16 tahun dalam industri solekan akan mengajar tentang selok-belok solekan untuk bahan cetak, penyiaran dan pentas.

Dia mendapat asas dalam bidang solekan daripada Snips Academy dan butik pengantin di Pulau Pinang.

Setakat ini, lebih 50 orang pelajar yang telah mendaftar. Yuran untuk kursus peragaan berjumlah antara RM1,688 hingga RM3,888 manakala kursus solekan bermula pada harga RM699.

Kemasukan bermula 14 dan 15 Ogos ini, pukul 10 pagi hingga 4 petang. Untuk maklumat lanjut, layari www.amberchia.com/academy.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain