suria

10,000 Tetamu Boleh Saksikan Majlis Nikah Sheikh Muszaphar & Halina

Sheikh Muszaphar dan Halina hadir di majlis sidang media perkahwinan mereka di Hotel JW Marriott, Kuala Lumpur, Selasa. - Foto oleh AZMAN GHANI
Sheikh Muszaphar dan Halina hadir di majlis sidang media perkahwinan mereka di Hotel JW Marriott, Kuala Lumpur, Selasa. - Foto oleh AZMAN GHANI
Sheikh Muszaphar dan Halina hadir di majlis sidang media perkahwinan mereka di Hotel JW Marriott, Kuala Lumpur, Selasa. - Foto oleh AZMAN GHANI

KUALA LUMPUR: Angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor akan berkongsi hari pernikahannya dengan semua rakyat Malaysia.

Majlis pernikahannya dehngan Dr. Halina Mohd Yunos itu akan diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada 10 Oktober tahun ini.

Walaubagaimanapun, majlis yang akan berlangsung pada pukul 10 pagi itu terhad kepada 10,000 tetamu sahaja.

Tetamu yang hadir bukan turut diberi pekuang untuk merakamkan gambar bersama pasangan mempelai itu nanti.

Pada malamnya, Sheikh Muszaphar dan pasangannya akan disandingkan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada pukul 8 malam.

Antara tetamu kehormat yang dijemput adalah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan selebriti, Datuk Michele Yeoh.

Seratus angkasawan dari 35 negara juga tidak ketinggalan untuk menghadiri majlis bertemakan 'pahlawan Melayu di istana kayangan' dan 'angkasa lepas' itu.

“Ikutkan saya nak buat majlis kecil-kecilan sahaja yang dihadiri oleh ahli keluarga dan rakan terdekat tetapi ramai pula yang mahu hadir. Saya juga mahu meraikan semua rakyat Malaysia untuk sama-sama hadir ke majlis kami.

“Kalau boleh saya nak jemput semua pembesar negeri dan menteri kabinet termasuk angkasawan Muslim pertama dari Arab Saudi, Putera Raja Sultan Salman, angkasawan pertama China, Yang Li Wei, angkasawan pertama India, Rakesh Sharma dan mana-mana angkasawan yang telah menjejakkan kaki ke bulan,” katanya pada satu sidang media di Hotel JW Marriott, di sini, Selasa.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh tunangnya, Dr Halina, ibu dan bapa Sheikh Muszaphar, Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Abdul Shukor dan Datin Zuraida Datuk Sheikh Ahmad.

Mereka turut meraikan ulang tahun Sheikh Muszaphar yang ke-37 yang jatuh pada 27 Julai.

Menariknya, perkahwinan mereka akan ditayangkan secara langsung di televisyen. Setakat ini, mereka masih berbincang dengan pihak Astro selain turut membuka peluang kepada stesen televisyen yang lain berminat.

Tambahnya: “Saya mahu menunjukkan keindahan warisan Melayu kepada seluruh dunia terutama kepada angkasawan yang hadir kerana mereka juga berminat untuk mengetahuinya.

“Kami akan cuba merealisasikan perkahwinan yang mengekalkan konsep pahlawan Melayu tetapi mempunyai ciri-ciri angkasawan. Misalnya pelamin dibuat dengan ciri-ciri keislaman dan kemelayuan.

“Walaupun ada yang mengibaratkan perkahwinan kami sebagai wedding of the year tetapi saya rasa bukan dari segi kosnya sebaliknya dari segi jemputan yang hadir.”

Kedua-dua mempelai telah melantik Butik Cosry selaku perunding perkahwinan dan pereka persalinan pernikahan yang bertemakan putih. S

Sementara Bibah Songket akan menaja baju persandingan mempelai yang diperbuat daripada songket dengan bertemakan warna biru, emas dan perak manakala pereka fesyen terkenal Datuk Bernard Chandran akan menyediakan persalinan untuk majlis memotong kek.

Malah, seluruh keluarga dan angkasawan yang hadir akan mengenakan persalinan iaitu baju kurung dan baju Melayu yang dibuat oleh Cosry dan kainnya ditaja oleh Jakel.

Setakat ini, Cosry telah menyiapkan 30 peratus persiapan perkahwinan seperti kad perkahwinan yang akan diedarkan tidak lama lagi.

Tentang persiapan lain, pihak lelaki akan memberikan sembilan hantaran berbalas 11 hantaran daripada pihak perempuan yang disediakan oleh Cosry.

Namun begitu, pasangan itu merahsiakan wang hantaran yang diberikan kepada pihak perempuan kerana menganggap perkara itu tidak perlu dihebahkan.

Selepas berkahwin, kedua-duanya memilih untuk berbulan madu selama seminggu dan lokasinya masih belum diketahui. Mereka juga bercadang untuk mengerjakan Haji di Mekah pada November tahun ini.

Pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 1 Januari lalu dan memilih tarikh 10 Oktober 2010 untuk majlis perkahwinan mereka sempena ulang tahun ketiga detik Sheikh Muszaphar ke angkasa pada 10 Oktober 2007.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain