suria

‘Cak Cak’ Azwan bawa kisah Mak Esah dan Datuk Hangsuang penuh sindiran!

Azwan bersama para pelakon utama Cak Cak 2009. -foto Azwan Ali
Azwan bersama para pelakon utama Cak Cak 2009. -foto Azwan Ali
Azwan bersama para pelakon utama Cak Cak 2009. -foto Azwan Ali

TANPA disangka, program Cak Cak yang telah lama menyepi sejak 10 tahun lalu kembali ditayangkan dengan mengekalkan peneraju utamanya iaitu pengacara popular Azwan Ali, 43.

Azwan sendiri terkejut apabila mendapat tahu berita tersebut lantas menganggapnya sebagai kuasa Tuhan.

“Bayangkan, selepas 10 tahun kita ingat produk ini akan berkubur dan saya tidak mengimpikan Cak Cak dibuat musim yang baru.

“Apabila mendapat panggilan daripada Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul, saya ingatkan dia bergurau kerana program ini memang sudah lama dan ada juga pelakon seperti Ibu Yusni Jaafar yang telah meninggal dunia,” kata Azwan mengenai Cak Cak 2009 yang bergenrekan drama komedi.

Menurut Azwan, drama itu telah pun memulakan pengambaran dan bakal memulakan siarannya pada 16 Mac ini di Astro Ria. Siaran preludenya telah ditayangkan pada 9 Mac lalu.

Ketika temubual dilakukan, Azwan berkata dia telah merakam empat episod drama yang 100 peratus ditulis dan diarahnya.

Tambahnya, yang penting skrip drama 13 episod ini adalah lain daripada yang lain dan tidak menggunakan lawak ‘bodoh’.

Azwan berkata lagu tema dan corak ceritanya masih mengekalkan konsep yang sama.

Bukan itu sahaja, para pelakon utama juga adalah muka yang sama dan kegemaran Azwan iaitu Rosnah Mat Aris, Jaafar Onn, Sathiya, dan Angeline Tan.

Azwan turut memperkenalkan muka baru untuk watak utama Cak Cak iaitu Ellie Suriati yang digelar oleh Azwan sebagai ‘next Ogy Ahmad Daud’.

Yang penting, Azwan berkata dia telah berjaya menggabungkan tiga kaum utama di Malaysia.

Bercerita tentang serba-sedikit episod yang akan ditayangkan, antara yang menarik adalah golongan tipikal Cina dan India lakonan juga boleh dipaparkan sebagai muslim.

Misalnya, Angeline Tan berlakon sebagai Datin Pasah Sendah iaitu seorang mualaf baik, Jaafar Onn melakonkan watak Datuk Hangsuang iaitu pemerintah dari negeri Jelapang Soya yang tidak mempunyai rumah.

Azwan akui yang jalan ceritanya nanti mungkin akan membuatkan mana-mana pihak terasa.

“Ini kerana cerita saya penuh dengan sindiran. Namun, tiada siapa yang akan dapat saman saya kerana cerita yang saya reka hanyalah imaginasi tentang kehidupan,” tegasnya yang menghasilkan idea secara spontan untuk drama tersebut.

Cerita Azwan, episod pertama drama ini bertajuk ‘Mak Esah’ iaitu bomoh yang akan dilakonkan oleh Ellie Suriati.

“Saya memilih Ellie kerana dia bagus dan saya suka melihat lakonan berkesan dan bersahajanya melalui watak orang gaji bernama Pah Bedah dalam drama bersiri popular, Orang Gaji 41.

“Selain itu, episod pertama nanti akan mengisahkan tentang editor wanita, Kak Propa lakonan Rosnah Mat Aris yang jatuh cinta dengan ‘anak ikan’, model top Antonio Boreh (Nubhan AF6),” kata Azwan.

Tambahnya, setiap episod akan memaparkan dua orang artis jemputan.

Antara artis jemputan yang bakal mewarnai Cak Cak 2009 adalah Nubhan AF6 dan Nikki untuk episod ‘Mak Esah’, Jue Aziz dan Bob AF (Ratu Poco Poco), Zul Yahya dan Louisa Chong (Gila-Gila Kotaraya) serta Fauzi Nawawi dan Ezlynn (Bibik Propa).

Impi terbit filem

Ramai yang memberikan komen positif dan tidak pernah bosan apabila menonton drama yang dihasilkan oleh Azwan seperti Lontong, Sambal dan Cak Cak.

Maka tidak hairanlah jika ada antara pihak yang menyamakan produknya dengan produk Seniman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

“Saya ada juga dengar yang orang kata produk saya seperti produk P. Ramlee kerana mereka tidak pernah bosan walaupun menonton drama itu berulang kali.

“Atas komen positif ini, saya bercadang untuk membikin filem jika dipanjangkan umur. Saya belum tahu lagi bila dan hanya menunggu masa yang sesuai.

“Filem pertama yang saya nak buat adalah Lontong The Movie yang mengisahkan tentang masalah orang Melayu. Saya akan cuba mengumpul semula pelakon-pelakon drama Lontong seperti Ogy Ahmad Daud dan Salih Yaacob.

“Selepas itu, saya nak buat filem ‘Aku Nombor 2’ yang menceritakan tentang dunia hiburan Malaysia. Penonton akan ketawa dengan karektor yang dipaparkan dalam filem itu.

“Antara babak menarik adalah malam kemuncak ‘Anugerah Bintang Berangan’ di mana semua finalis terpaksa menaiki bas kerana limosin rosak.

“Malam anugerah itu juga dibuat di ladang kelapa sawit. Paling lucu apabila pentas roboh ketika majlis tersebut sedang berlangsung.

“Jika kedua-dua filem ini berjaya dihasilkan, saya akan bersara dari dunia seni ini kerana ia merupakan impian saya yang terakhir,” beritahu Azwan yang menjangkakan untuk menghasilkan dua buah filem ini sebelum umurnya mencecah 50 tahun.

Saksikan Cak Cak 2009 di Astro Ria yang disiarkan mulai 9 Mac lalu, setiap Isnin pukul 10 malam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain