suria

Rozita nafi kahwin tahun depan

Kejelitaan yang dimilikki oleh Rozita Che Wan seringkali menjadikannya fokus gosip liar.
Kejelitaan yang dimilikki oleh Rozita Che Wan seringkali menjadikannya fokus gosip liar.
Kejelitaan yang dimilikki oleh Rozita Che Wan seringkali menjadikannya fokus gosip liar.

SEPANJANG pembabitannya dalam dunia hiburan, sejak lebih dua tahun yang lalu, aktres jelita Rozita Che Wan melahirkan kesyukuran kerana dirinya belum ditimpa gosip yang mampu meruntuhkan kerjaya dan memusnahkan kepercayaan masyarakat terhadap dirinya.

Begitupun, sebagai wanita yang mula dikenali ramai dan hidup pula sendirian, tentunya dia tidak mampu menjauhkan diri daripada cerita panas yang mengaitkannya dengan golongan lelaki.

Selepas dikaitkan dengan aktor Zizan Nin, dia didakwa pula sudah bergelar isteri kepada seorang lelaki berstatus Tan Sri.

Malah, kata pelakon jelita ini, ramai juga rakan dan kalangan artis yang menghubunginya, mengucapkan tahniah atas `perkahwinannya' yang dia sendiri tidak ketahui.

”Banyak sangat gosip dengan Datuk la, Tan Sri R macam-macam lagi. Kadang-kadang saya pelik mana mereka dapat cerita macam tu sedangkan saya tak kenal pun dengan orang yang digosipkan itu, katanya kepada mStar Online semalam.

Adik yang bakal berkahwin

Terbaru aktres yang pernah membintangi drama bersiri Susuk dan Jelatang ini dikhabarkan akan mengkahiri zaman jandanya bersama kekasih hati.

Lebih mengukuhkan kenyataan tersebut kata sumber yang boleh dipercayai ini, mereka telah menempah kain untuk membuat baju perkahwinan di sebuah kedai kain terkemuka di negara ini.

Kesempatan yang diperoleh semasa menemubual aktres yang berasal dari utara tanah air ini digunakan untuk mempastikan kesahihan sumber maklumat yang diperoleh itu, namun ketika diajukan soalan tersebut Rozita hanya tergelak kecil dan sambil menambah:

”Mana la awak dapat cerita ini. Tak betul pun. Saya tak akan berkahwin dalam masa terdekat ini, itu gosip semata-mata.

”Tak pun, saya rasa orang tu dah salah faham sebab yang nak kahwin tahun depan ialah dua orang adik saya, Jaja dengan Shidi. Masing-masing akan melangsungkan perkahwinan sekitar bulan Mac dan April tahun depan. Saya rasa mereka nampak saya masa teman adik membuat persiapan di kedai kain itu kot.”

Lali dengan gosip

Bagi si jelita ini dia sudah lali dengan gosip yang mengatakan dia akan berkahwin dengan orang kenamaan,namun dia tetap menerimanya kerana dia menyifatkan ia sebagai asam garam dunia seni semata-mata.

”Saya anggap gosip-gosip bercinta dan berkahwin dengan golongan VIP, seperti Datuk dan Tan Sri sebagai rencah dan asam garam dunia seni semata-mata. Mungkin orang nak dengar cerita terbaru dari saya tu yang keluar gosip macam tu kot,” ujarnya.

Menyelami isi hati wanita jelita bergelar ibu tunggal ini, nyata dia seorang yang tabah menghadapi dugaan dalam menempuhi cabaran hari-hari mendatang.

Biarpun perkahwinan yang pertama menemui kegagalan namun dia tidak pernah serik dan sentiasa membuka pintu hatinya buat insan bernama lelaki.

Namun bagi kakak kepada pelakon Ayu Raudah ini, bukan mudah untuk mencari lelaki yang betul-betul ikhlas dalam sesebuh perhubungan.

”Buat masa ini saya memang tak ada kekasih. Saya masih solo lagi. Bukan tak berkasih cuma sekarang ini payah nak cari lelaki yang ikhlas dengan kita. Mungkin sebab saya belum temui yang sesuai lagi,”katanya.

Suka lelaki kelakar

Ditanya apakah ciri-ciri lelaki idamannya, anak jati Kedah ini berkata dia suka kepada lelaki kelakar serta dapat menerima seadanya dua orang anak lelakinya.

”Saya suka lelaki yang kelakar dan pandai buat lawak namun yang paling penting dia kena pandai mengambil hati serta menerima dua orang hero saya di rumah seadanya,” ujarnya ceria.

Bagi ibu kepada Ammar Effendy, 12, dan Aniq Ezzra, 10, ini, kedua orang ananknya itu pernah bertanya bila hendak kahwin lagi, namun setelah saya menerangkan kepada mereka barulah mereka faham.

”Mungkin mereka nak dapat kasih sayang dari lelaki bergelar ayah juga.Namun sekarang ini saya tak de calon lagi, kekasih pun tak de,” kata Rozita yang pernah popular dalam drama bersiri Diari Ramadhan Rafique.

Sibuk berlakon drama

Menceritakan perkembangan terbaru karier lakonannya bagi anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini dia kini sibuk dengan penggambaran dua buah drama yang bakal ditayangkan di RTM 1 tidak lama lagi.

”Saya baru saja habis shooting drama Mentadak dan Di Sebalik Cermin, drama ini akan ditayangkan di RTM 1 tak lama lagi,” katanya yang baru sahaja pulang dari lokasi penggambaran drama tersebut.

Menurut Rozita dalam drama Mentadak dia berlakon di samping pelakon, Ezzany. Drama tersebut berkisar mengenai seorang lelaki yang mahu mengaut keuntungan daripada kekayaan orang lain.

”Dalam drama Mentadak saya pegang watak baik sebagai isteri kepada Ezany, selepas berkahwin saya dapat tahu Ezzany jahat dan nak mengaut harta saya untuk kesenangan dia.

”Macam-macam cara dia gunakan untuk dapatkan harta itu, jadi sebelum saya meninggal dunia, saya telah wakafkan harta saya kepada rumah anak yatim, nak tahu apa jadi pada Ezzany lepas tu kena tengok drama tu,”tuturnya lembut.

Menurut Rozita awal tahun hadapan dia juga sudah mendapat tawaran berlakon dua buah filem, satu filem sejarah dan satu lagi filem mengenai kisah hidup pereka fesyen.

”Filem sejarah ini tajuk dia Laskar Semangat, istimewanya filem arahan Mamat Khalid ini dia menceritakan peristiwa yang berlaku 20 minit sebelum Melaka ditawan oleh penjajah.

”Dalam filem ini sayaa seorang je wanita yang membawakan watak utama yang dibantu oleh pelakon lelaki seperti Awie, Sofijikan dan Bront Palare,” katanya yang pernah membintangi drama bersiri Ayyad.

Mahu kurangkan gosip

Sempena tahun baru 2009 aktres jelita ini berazam untuk bekerja bersungguh-sungguh demi memantapkan lagi penghayatannya dalam bidang lakonan.

”Sepangjang tahun 2008, hampir 90 peratus azam saya dah tecapai. Jadi saya harap tahun depan kerjaya lakonan saya akan lebih mantap.

”Lagi pun jika ada rezeki lebih insya-Allah saya akan buka syarikat produksi sendiri bersama adik saya, Shidi, namun semua itu masih dalam perancangan dan mengumpul modal lagi,” ujar Rozita yang baru sahaja dilantik menjadi duta barang kemas produk kecantikan Avon selama setahun.

Namun menurut duta kosmetik terkenal Loreal ini, apa yang lebih penting pada tahun hadapan dia sangat berharap gosip-gosip cinta mengenai dirinya sertadia akan berkahwin dengan orang kenamaan dapat dikurangkan.

”Saya harap sangat tahun depan gosip-gosip dan isu kontroversi mengenai saya dapat dikurangkan atau lebih elok kalau tak ada langsung. Yang penting tahun depan nak kurangkan kontroversi dan tingkatkan prestasi,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Artikel Berikut

Artikel Lain