suria

Bintangi MV 'She Will Be Loved', Adam Levine beri penghormatan terakhir kepada isteri John Travolta, Kelly Preston

Vokalis Maroon 5, Adam Levine beri penghormatan terakhir kepada pelakon Kelly Preston.

VOKALIS kumpulan muzik terkenal antarabangsa Maroon 5, Adam Levine memberi penghormatan terakhir kepada mendiang aktres Kelly Preston, 57, yang pernah membintangi video muzik She Will Be Loved.

Adam, 41, berkongsi foto daripada video tersebut menerusi laman Instagram pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri John Travolta, Kelly Preston meninggal dunia setelah 2 tahun bertarung kanser

Di dalam video tersebut, Kelly membawa watak sebagai kekasih gelap Adam yang juga merupakan teman lelaki kepada anak perempuannya.

"Ciuman pura-pura pertama saya... kami akan merindui awak, Kelly. Awak sentiasa ada tempat di hati saya," tulis Adam.

She Will Be Loved yang dilancarkan pada 2004 merupakan antara lagu ikonik grup itu.

Video muzik lagu tersebut sudah mencecah 552 juta tontonan sejak ia dimuat naik di YouTube pada 2009.

Sebelum ini, aktor Hollywood John Travolta mengumumkan isterinya, Kelly Preston meninggal dunia selepas hampir dua tahun bertarung kanser payudara.

Berita itu dikongsi oleh John menerusi laman Instagram.

"Berat hati untuk memaklumkan kepada semua bahawa isteri saya, kelly telah pergi selepas dua tahun berjuang dengan kanser payudara.

"Dia telah berjuang dengan penuh berani melawan penyakit ini bersama kasih sayang dan sokongan ramai," tulis John pada kapsyen.

Sumber: Hollywoodlife

Artikel Lain