Kim Hye Soo terbeban hutang ibu sebanyak RM4.5 juta - Bintang Global | mStar

Kim Hye Soo terbeban hutang ibu sebanyak RM4.5 juta

Kim Hye Soo terpaksa menanggung beban hutang ibunya. Foto: Allkpop

IBU kepada pelakon Kim Hye Soo didakwa terbabit dengan hutang sebanyak AS$1.1 juta (RM4.5 juta) dan masih belum memulangkan pinjaman tersebut sejak tahun 2012.

Menurut laporan AllKpop, seorang individu mendakwa telah meminjamkan wang kepada ibunya atas alasan untuk membangunkan perumahan kecil di Yangpyeong, Korea Selatan.

Malah, sumber memberitahu mereka meluluskan pinjaman itu atas alasan wanita tersebut adalah ibu Kim Hye Soo.

"Kim Hye Soo adalah seorang selebriti dan ramai orang percaya kepadanya... memandangkan isu ini telah berlaku, kita harus dedahkan supaya tiada perkara lebih buruk terjadi selepas ini," kata sumber.

Sementara itu, pihak pengurusan Kim Hye Soo pula mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan isu membabitkan artis naungan mereka ini.

Dalam kenyataan yang diberikan kepada media, Kim Hye Soo dikatakan telah terbeban dengan hutang yang dibuat ibunya itu sejak 10 tahun lalu.

"Ibunya telah meninggalkan beban hutang kepada anaknya sejak 10 tahun lalu. Pada 2012, Kim Hye Soo mengalami saat cukup mencabar apabila tidak mampu membayar hutang ibu.

"Selepas ibunya berjanji untuk tidak mengulangi perbuatan membuat pinjaman, Kim Hye Soo memilih untuk tidak lagi berhubung dengan ibunya sepanjang waktu tersebut.

"Justeru itu, kami meminta media dan orang ramai tidak terus menyebarkan berita palsu yang hanya akan merosakkan kerjaya Kim Hye Soo dan hal hutang ini bukan di bawah tanggungjawab artis kami kerana ia dilakukan oleh ibunya," ujar pihak pengurusan.

SUMBER: AllKpop

Kim Hye Soo

Artikel Lain