suria

Wajah masam Kim Jung Hyun buat peminat geram!

Pelakon Kim Jung Hyun diselar gara-gara mempamerkan wajah masam sepanjang sidang media drama terbaharu lakonannya, Time.

PELAKON Kim Jung Hyun dikritik hebat oleh pihak media dan peminat gara-gara mempamerkan sikap biadap ketika hadir pada sidang media bagi mempromosikan drama terbaharu lakonannya, Time.

Allkpop melaporkan sepanjang sidang media berlangsung Jung Hyun mempamerkan wajah masam malah menolak lengan aktres Seohyun ketika sesi bergambar.

Berang dengan sikap kurang ajar dipamerkan, seorang wartawan bertanya kepadanya sekiranya ada perkara yang membuatkan dia tidak berpuas hati dan mempamerkan sikap buruk pada sidang media itu.

Bagaimanapun Jung Hyun memberi alasan dia terbawa-bawa dengan wataknya dalam drama bersiri itu.

Kim Jung Hyun turut menolak tangan Seohyun ketika bergambar.

"Saya sedang dalam watak saya... Saya turut hidup dengan peranan saya itu di luar set. Banyak tenaga yang saya curahkan kepada karakter itu sehingga saya terbawa-bawa dengannya," jelasnya.

Alasan diberikan Jung Hyun tidak membuatkan peminat segera mempercayainya malah kecaman terhadap aktor itu semakin hebat kerana ramai merasakan alasan itu tidak munasabah.

"Dia patut menghormati majlis dan bukannya mempamerkan sikap menjelikkan! Para wartawan hadir untuk memberi publisiti dan sikap ditunjukkan memang kurang ajar," tulis netizen di laman sosial.

Sementara itu, beberapa hari selepas insiden itu, syarikat pengurusannya mengeluarkan kenyataan permohonan maaf atas sikap biadap artis mereka.

Malah Jung Hyun dilaporkan sudah memohon maaf kepada semua rakan artis terlibat dalam drama bersiri itu dan peminatnya.

Kim Junh Hyun

Artikel Lain