suria

Sime Darby Tubuh Anak Syarikat 65 Peratus Milik Tidak Langsung Di China

KUALA LUMPUR: Sime Darby Bhd mengumumkan penubuhan Kunming Bow Chuang Motor Sales and Services Co Ltd. (KMBC), anak syarikat 65 peratus milik tidak langsungnya di China.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, lesen perniagaan KMBC, bertarikh 4 Julai, 2017 telah dikeluarkan oleh Pentadbiran Penyeliaan Pasaran, Daerah Panlong, Kunming dan diterima oleh Yunnan Bow Yue Vehicle Trading Co Ltd. (YNBY), anak syarikat 65 peratus milik tidak langsung Sime Darby pada 5 Julai, 2017.

Sime Darby berkata, KMBC ditubuhkan sebagai syarikat terhad di bawah undang-undang syarikat China dengan modal berdaftar sebanyak 20 juta renminbi dipegang oleh YNBY.

Menurutnya, aktiviti utama KMBC ialah jualan runcit kenderaan motor dan alat ganti serta pembekalan perkhidmatan selepas jualan.

Penubuhan KMBC dijangka tidak memberi kesan ke atas perolehan atau aset bersih kumpulan Sime Darby bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2018, selain itu, tiada pengarah atau pemegang saham utama Sime Darby atau individu berkaitan mereka mempunyai sebarang kepentingan, langsung atau tidak langsung, dalam penubuhan itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain